PM: Tiada desakan pemimpin Sabah, Sarawak minta dikecuali Subsidi Diesel

24 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa pemimpin Sabah dan Sarawak tidak membuat desakan atau tuntutan untuk meminta pengecualian daripada penyasaran subsidi diesel.
Keputusan untuk mengecualikan kedua-dua wilayah ini adalah kerana diesel merupakan bahan api utama yang digunakan secara meluas berbanding di Semenanjung.
Menurut Anwar, keadaan jalan raya di Sabah dan Sarawak memerlukan penduduk menggunakan kenderaan diesel, selain untuk kegunaan bot-bot.
"Ada hal yang kita boleh cukai pendapatan semua sama, tapi cukai atau penarikan subsidi yang membebankan rakyat terbanyak itu tidak boleh diteruskan, untuk apa? Bila kita lakukan ini saya yakin gambaran dan laporan prestasi daya saing lebih baik," katanya semasa menyampaikan amanat pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2024 peringkat negeri di Pusat Konvensyen Borneo, di sini baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa tujuan pengecualian ini perlu dijelaskan supaya tidak timbul kekeliruan dan untuk menepis kritikan beberapa ahli parlimen di Semenanjung. Tambah Anwar, semua wakil rakyat perlu memahami keperluan negeri-negeri lain.
Comments