Presiden baharu UPKO mahu jentera parti siap sedia hadapi PRU15
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Presiden baharu UPKO mahu jentera parti siap sedia hadapi PRU15


29 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang baharu, Datuk Ewon Benedick mahu jentera pilihanraya parti itu siap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau juga akan memberi tumpuan persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


“Ada yang menyatakan bahawa masa sekarang tidak sesuai untuk peralihan kepimpinan parti kerana kita akan menghadapi PRU15 tidak lama lagi, tetapi kita mesti ingat PRN pun perlu persiapan yang lebih awal.


“Kita ada tiga tahun dari sekarang untuk membuat persediaan PRN, itu sebabnya kita mengadakan peralihan kepimpinan agar kepimpinan parti lebih berfokus.


“Sebagai presiden yang baharu saya mahu parti ini lebih bersedia menghadapi PRN dan pada masa yang sama kita juga bersedia menghadapi PRU15 di mana Datuk Madius sebagai Presiden Kehormat UPKO akan terus memainkan peranan penting dalam parti,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perjumpaan Khas bersama Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian UPKO, di Ibu Pejabat UPKO Penampang, di sini, kelmarin.

Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai presiden pada pemilihan parti kali ini bagi memberi laluan kepada Ewon.


Keputusan itu dipersetujui dan mencapai kata sepakat daripada semua AMT dan Ketua-ketua Bahagian UPKO setelah menilai tahap kesediaan pemimpin baru yang dipilih menggalas tanggungjawab menerajui parti itu.


Ewon berkata, UPKO perlu bersaing secara sihat dengan mana-mana parti di Malaysia untuk memasarkan ideologi, perjuangan dan kepimpinan baharu mereka.


“Saya melihat peralihan kepimpinan ini secara positif … politik di Malaysia menjadi lebih dinamik dengan Undi18, pendaftaran pengundi muda secara automatik dan kewujudan parti-parti baru yang diterajui golongan muda termasuk MUDA.


“Dengan keputusan ini (peralihan kepimpinan), kita akan lebih berfokus di mana saya akan memberi tumpuan hal ehwal politik dan perjuangan UPKO di Sabah. Manakala, Datuk Madius sebagai Ahli Parlimen akan fokus perjuangan parti di peringkat nasional,” katanya.


Ewon berkata, sebagai parti berasaskan Sabah, sudah tiba masanya UPKO memberi fokus kepada perjuangan asal dan utama penubuhan parti antaranya Perjanjian Malaysia dan hak-hak Sabah.


“Sebab itu, presiden perlu berada di Sabah dan menjadi sebahagian daripada pemimpin negeri. Manakala pemimpin Parlimen boleh memberi tumpuan kepada politik nasional, dasar-dasar di Parlimen dan sebagainya supaya kita ada fokus,” katanya.


Ketika ditanya sama ada peralihan kepimpinan kepada pemimpin muda akan menjadi trend dalam parti politik di Malaysia pada masa akan datang, Ewon berkata, dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, semua pihak termasuk pemimpin muda berhak menubuhkan parti baharu.


“Saya berharap parti-parti lain juga dapat mempraktikkannya kerana saya melihat ada presiden parti yang begitu lama (sebagai presiden), bagi saya mesti ada masa mereka menyerahkan kepimpinan parti kepada generasi muda yang mempunyai idea dan cara kepimpinan yang lebih segar.


“Keadaan itu menyebabkan pemimpin muda yang berusia 20an hingga 40an merasakan tiada tempat dalam parti, jadi bagi saya UPKO telah membuktikan peralihan ini memberi peluang kepada pemimpin muda mengetuai parti ini,” katanya.

bottom of page