top of page

Program Citarasa Malaysia Buka Laluan PMKS Tembusi Pasaran UAE

  • nabalunews
  • Sep 8, 2024
  • 1 min read

8 September 2024


DUBAI: Program Citarasa Malaysia yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, bakal membuka laluan kepada lebih banyak produk usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE).


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata selain China, Jepun dan Thailand, UAE adalah negara yang sesuai untuk memulakan program berkenaan kerana kedudukannya yang strategik di kawasan Timur Tengah.


Beliau berkata Program Citarasa Malaysia menyaksikan 44 Unit Penyimpanan Stok (SKU) barangan tempatan dari 16 syarikat akan dijual di Lulu Hypermarket, yang setakat ini mempunyai 120 cawangan di UAE termasuk 48 buah di Dubai.


“Terdapat sebanyak 241 SKU barangan buatan Malaysia di bawah promosi KPDN telah memasuki rangkaian Lulu Hypermarket di seluruh UAE dengan nilai jualan sebanyak RM30 juta tahun lepas.


“Ia terdiri daripada 30 syarikat tempatan yang mengeluarkan produk segar, makanan dan produk penjagaan diri. Justeru, SKU yang dibawa masuk kali ini akan meluaskan lagi pasaran produk PMKS tempatan ke UAE,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program Citarasa Malaysia di Lulu Hypermarket, Silicon Oasis di sini, semalam.


Armizan berkata untuk membolehkan PMKS mempunyai platform bagi memperkenalkan produk mereka, KPDN akan meningkatkan jalinan kerjasama dengan beberapa pasar raya besar lain yang mempunyai rangkaian di luar Malaysia seperti Lotus’s untuk pasaran Thailand dan Aeon (Jepun).


Beliau berkata KPDN juga meneroka kerjasama dengan sebuah koperasi di China, dan ia sedang dimuktamadkan.


“Ini penting agar kita boleh mengetahui produk bersesuaian untuk dibawa masuk ke negara berkenaan, selain dapat membantu kita memantau perkembangan produk PMKS dan melakukan penambahbaikan, berdasarkan data yang diperoleh dari pasar raya terbabit,” katanya.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page