Program Living Lab UMS Tingkatkan Keupayaan Komuniti Tempasuk
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 2 min read

13 November 2025
KOTA BELUD: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), serta Pusat Pengurusan Eco-Farm menganjurkan Program Living Lab UMS Bersama Komuniti Kampung Tempasuk I bagi memindahkan ilmu dan teknologi terkini kepada masyarakat setempat.
Pengarah IBTP, Profesor Madya Dr Fiffy Hanisdah Saikim berkata program berkenaan merupakan platform pembelajaran hidup yang mengintegrasikan ilmu akademik dengan pengalaman komuniti.
Beliau berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti penyelidik dan pelajar turun ke lapangan, sebaliknya menampilkan konsep kampung sebagai “bilik kuliah” yang memberi ruang kepada pelaksanaan pembelajaran berasaskan komuniti.
“Program ini turut menyokong prinsip bahawa ilmu dan data yang diperoleh daripada komuniti mesti dikembalikan kepada komuniti dalam bentuk manfaat ekonomi, peningkatan kemahiran, peluang pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Ilmu tidak seharusnya terhenti sebagai penulisan ilmiah semata-mata,” katanya merasmikan program tersebut.
Tambah beliau, program Living Lab itu juga merupakan projek teras yang ditekankan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, yang menekankan gagasan “Ilmu kembali kepada rakyat”.
Fiffy berkata pendekatan yang digunakan adalah berasaskan penyelesaian berasaskan alam atau Nature-Based Solutions bagi membangunkan komuniti dan ekonomi secara lestari melalui pemuliharaan alam sekitar.
Terdahulu, Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Samuel Joseph menyampaikan ucapan aluan dan merakamkan penghargaan kepada UMS atas usaha meningkatkan keupayaan komuniti Tempasuk l.
Pada program berkenaan, para peserta melakukan sesi latihan berkumpulan merangkumi demonstrasi penternakan ikan dan udang galah, pameran serta aktiviti pembuatan sabun dan pameran Eco-Farm.
Aktiviti-aktiviti tersebut dirangka bagi memberi pendedahan dan kemahiran baharu kepada penduduk, terutamanya dalam bidang keusahawanan, agroteknologi dan pertanian mampan.
Fiffy berkata Tempasuk I mempunyai kekuatan tersendiri dari segi sumber alam yang kaya, keharmonian komuniti serta potensi besar dalam pembangunan agroekologi dan ekopelancongan lestari.
“Setiap langkah yang diambil dalam program ini mungkin kecil, tetapi penuh makna. Apabila ilmuwan, pelajar dan komuniti bergerak seiring, kita bukan sahaja membina projek, tetapi masa depan.
“Program berkenaan diharap menjadi permulaan kepada kerjasama berpanjangan antara UMS dan komuniti Tempasuk I, sekali gus menyokong usaha universiti meningkatkan keupayaan ekonomi luar bandar melalui pendekatan inovasi, kelestarian dan pemerkasaan masyarakat,” katanya.














