Proses permohonan pembiayaan agensi-agensi KUSKOP ditambahbaik: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Proses permohonan pembiayaan agensi-agensi KUSKOP ditambahbaik: Ewon



2 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, agensi-agensi di bawah kementerian itu telah menambahbaik dan program dan insiatif keusahawanan serta memudah cara permohonan pembiayaan.


Beliau berkata, ini termasuk mengurangkan tempoh kelulusan pembiayaan dan pengeluaran pembiayaan serta mengurangkan keperluan dokumentasi.


“TEKUN Nasional mengurangkan keperluan dokumentasi daripada 17 dokumen kepada 4 dokumen bagi skim pembiayaan TEKUN.


“Tempoh kelulusan pembiayaan juga dikurangkan kepada tujuh hari bekerja berbanding 21 hari bekerja serta urusan penyaluran peruntukan dilaksanakan dalam tempoh tiga hari bekerja,” katanya ketika menyampaikan penggulungan perbahasan Bajet 2024 peringkat dasar, bagi kementeriannya, kelmarin.


Ewon berkata, SME Bank juga memproses permohonan secara purata dalam tempoh 21 hari bekerja berbanding 30 hari bekerja sebelum ini.


“Bank Rakyat telah mengurangkan tempoh kelulusan pembiayaan mikro daripada 10 hari kepada enam hari bekerja;


“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah mengurus tempoh pengeluaran pembiayaan dalam tempoh masa 10 hari berbanding 16 hari sebelum ini.


“Pernas juga mengambil inisiatif membangunkan sistem penilaian secara scorecard atas talian bagi membantu mempercepatkan proses pengeluaran dana yang dijangka akan mula digunakan pada bulan Februari 2024,” katanya.


Katanya lagi, agensi KUSKOP yang menawarkan bantuan kewangan seperti pinjaman di bawah AIM dan geran di bawah SME Corp. tidak mengambil kira penilaian CTOS dan CCRIS, bagi sumber peruntukan yang menggunakan dana kerajaan.


Mengenai cadangan supaya had kadar keuntungan bagi pembiayaan tidak melebihi empat peratus kepada usahawan mikro, Ewon berkata, kadar keuntungan yang ditetapkan tertakluk kepada sumber dana yang digunakan di mana skim pembiayaan yang menggunakan dana kerajaan akan menawarkan kadar yang kompetitif.


Dalam hubungan ini, agensi-agensi di bawah KUSKOP telah menyediakan kadar keuntungan yang tidak melebihi empat peratus melibatkan skim pembiayaan seperti skim-skim pembiayaan di bawah TEKUN Nasional dengan kadar keuntungan kurang daripada empat peratus setahun berdasarkan sumber peruntukan.


“Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial oleh SME Bank untuk perusahaan mikro dan kecil yang menawarkan pembiayaan dengan kadar keuntungan sebanyak tiga peratus setahun.


“Skim Pembiayaan Perniagaan Mikro (Mikro Madani) dan Program Pembiayaan Digital PMKS (DFI) oleh SME Corp. menawarkan pembiayaan dengan kadar keuntungan sebanyak dua peratus setahun dan Program Be Your Own Boss (BYOB) oleh Pernas juga menawarkan pembiayaan dengan kadar keuntungan sebanyak 3.75 peratus,” katanya.


Berkenaan cadangan mewajibkan latihan dan bimbingan kepada usahawan yang memohon bantuan pembiayaan, Ewon berkata, terdapat agensi-agensi KUSKOP yang telah mewajibkan penerima program menghadiri kursus latihan dan bimbingan keusahawanan.


“Antaranya TEKUN Nasional, mewajibkan kehadiran penerima pembiayaan menghadiri Seminar Asas Keusahawanan (SAK) bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman usahawan mengenai strategi dan teknik pemasaran berkesan serta pengurusan kewangan perniagaan yang cekap.


“Di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) oleh SME Corp, pemilik syarikat yang tiada latar belakang pengetahuan kewangan dan perakaunan diwajibkan untuk mengikuti kursus kewangan. Selepas mengikuti kursus tersebut, PMKS layak membuat tuntutan balik kos pembelajaran yang telah dibayar (maksimum RM1,000 geran).


“Usahawan yang telah menerima pembiayaan PERNAS juga diwajibkan menghadiri latihan berkaitan industri dan operasi perniagaan francais bagi tempoh dua hari,” katanya.


Mengenai cadangan penambahan kemudahan mesin ATM Bank Rakyat di Pekan Julau, Ewon berkata, Bank Rakyat telah mengenalpasti lokasi yang berpotensi bagi penempatan tambahan satu lagi mesin ATM Bank Rakyat bersebelahan mesin ATM sedia ada di premis Koperasi Daerah Julau Berhad.


“Pemasangan mesin ATM tersebut dijangka akan dilaksanakan pada Disember ini,” katanya.










bottom of page