Putrajaya perlu nilai semula pendekatan terhadap Sabah
- nabalunews
- 1 minute ago
- 2 min read

11 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu menilai semula pendekatannya terhadap Sabah dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan memastikan rakyat negeri itu menikmati hasil nyata yang benar-benar memberi impak.
Menegaskan perkara itu, Senator Datuk Nelson Wences Angang berkata, tanpa perubahan menyeluruh dalam perancangan dan pelaksanaan belanjawan, jurang pembangunan bukan sahaja akan terus melebar, malah keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan turut terjejas.
Katanya, pembangunan di Sabah kekal jauh tertinggal meskipun saban tahun diumumkan menerima antara peruntukan pembangunan tertinggi dalam negara.
“Hakikatnya, rakyat terus berdepan infrastruktur asas yang daif sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penyampaian kerajaan.
“Kalau peruntukan begitu besar, mengapa keadaannya masih begitu ketinggalan? Di sinilah kita perlu berani menyentuh isu saluran peruntukan dan kerenah birokrasi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara pada Selasa.
Nelson berkata aliran peruntukan ke Sabah yang melalui pelbagai lapis proses dan agensi di peringkat Persekutuan menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek, hingga menyebabkan sebahagian peruntukan tidak sempat dibelanjakan dan dipulangkan semula pada akhir tahun kewangan.
Beliau merujuk laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan sebahagian peruntukan tidak disampaikan sepenuhnya dalam bentuk projek siap, malah beberapa jabatan dan agensi kerajaan di Sabah hanya membelanjakan kurang 50 peratus peruntukan pembangunan yang telah diluluskan.
“Setelah dipulangkan akan dikitar semula untuk perancangan belanjawan tahun seterusnya. Persoalannya, sampai bila perancangan pembangunan di Sabah akan betul-betul terlaksana seperti yang ditetapkan sekiranya proses tersebut akan di-reset sebelum selesai,” ujarnya.
Menurutnya, struktur fiskal negara yang memusatkan kuasa pungutan hasil serta penentuan perbelanjaan di Putrajaya menyebabkan Sabah perlu bergantung kepada geran projek dan peruntukan yang diluluskan oleh Putrajaya untuk membiayai sebahagian besar projek pembangunan.
“Secara ringkasnya, duit dibelanjakan di Sabah tetapi bukan oleh Sabah dan keutamaan akhirnya banyak ditentukan oleh lensa kementerian di Pusat bukannya sepenuhnya berdasarkan realiti keperluan sebenar Sabah.
“Disebabkan terikat dengan karenah birokrasi, wang itu tidak dibelanjakan secara optimum menyebabkan persepsi peruntukan besar tetapi hasil kecil terus menjadi bahan olokan rakyat Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Nelson menggesa agar lebih banyak peruntukan untuk Sabah diurus dan diputuskan di peringkat negeri, selain memperkukuh Jawatankuasa Pemantauan Bersama Persekutuan-Negeri supaya penetapan keutamaan projek benar-benar berdasarkan input kerajaan negeri.
Beliau turut menekankan keperluan belanjawan yang seimbang antara projek fizikal dan pembangunan modal insan termasuk pendidikan dan pemerkasaan ekonomi rakyat.
Katanya, selain pembangunan infrastruktur asas, belanjawan untuk Sabah perlu memperuntukkan dana yang jelas untuk pemerkasaan ekonomi luar bandar termasuk bantuan bersasar kepada pekebun kecil, nelayan, usahawan mikro dan koperasi kampung.
“Belanjawan juga perlu memperluas akses kepada TVET, latihan kemahiran dan sokongan keusahawanan untuk anak muda serta memastikan program perlindungan sosial sedia ada benar-benar menjangkau isi rumah paling vulnerable di daerah termiskin.
“Apabila lapan daripada 10 daerah termiskin negara berada di Sabah, ini bukan lagi isu sampingan, tetapi a major red flag dalam keseimbangan pembangunan Malaysia. Kerajaan sewajarnya menyediakan pakej khas pembasmian kemiskinan untuk daerah terbabit,” katanya.














