top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rentas negeri dibenarkan mulai esok, kecuali Sabah


10 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Orang ramai akhirnya boleh merentas negeri bermula esok (11 Oktober) setelah kadar vaksinasi populasi dewasa melapasi 90 peratus hari ini.


Kelonggaran kebenaran merentas negeri itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas pada hari ini .


Walaubagaimanapun, kebenaran rentas negeri di Sabah masih menunggu keputusan kerajaan negeri yang akan diumumkan pada Rabu depan.


Katanya rakyat Malaysia yang lengkap vaksin boleh melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM.


“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. Bagaimanapun, data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini.


"Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya,” jelasnya.


Tambahnya, orang ramai yang hendak merentas negeri disarankan untuk melakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan dan bagi yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, dinasihatkan untuk tangguhkan perjalanan.


“Walaupun tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan. Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


“Saya juga ingin menegaskan, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” ujarnya

Comments


bottom of page