RM230 juta pembiayaan AIM untuk Sabah bagi tahun 2024, akan ditingkatkan - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

RM230 juta pembiayaan AIM untuk Sabah bagi tahun 2024, akan ditingkatkan - Ewon



29 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan sejumlah RM230 juta diperuntukkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk usahawan Sahabat AIM di Sabah bagi tahun 2024 dan akan ditingkatkan.


Menurut Ewon, di bawah perancangan AIM bagi tahun 2024, sebanyak RM2.61 billion peruntukan keseluruhan akan disediakan untuk membiayai permohonan Sahabat Usahawan AIM di seluruh negara.


“AIM telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM319.32 juta pada tahun 2022 melibatkan seramai 67,312 usahawan dan sebanyak RM283.14 juta pada tahun 2023 kepada seramai 54,217 usahawan di Sabah.


“Pengurangan ini adalah disebabkan penurunan pengeluaran pembiayaan keseluruhan AIM daripada RM2.74 bilion pada tahun 2022 kepada RM2.57 bilion pada tahun 2023 yang turut mengurangkan jumlah pembiayaan AIM di semua negeri termasuk di Sabah.


“Pada masa yang sama, AIM juga mempunyai kos operasi yang perlu ditanggung dan bayaran balik pembiayaan Kerajaan Persekutuan yang perlu dilunaskan mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan,” katanya.


Ewon menyatakan demikian dalam ucapan balas ke atas usul berkenaan perkara tadbir Kerajaan di Kamar Khas Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Madius Tangau.


Dalam usul tersebut, Madius mencadangkan agar jumlah modal untuk AIM bagi membiayai Sahabat Usahawan AIM Sabah sekurang-kurangnya RM350 juta setahun.


Ewon menyatakan AIM hanya menggunakan peruntukan dalaman selama ini bagi membiayai Sahabat Usahawan AIM dan tidak pernah menerima peruntukan daripada Kerajaan.


“Namun, atas keprihatinan yang sama seperti Yang Berhormat Tuaran bagi meningkatkan jumlah pembiayaan dan atas inisiatif yang telah dilaksanakan oleh KUSKOP dan AIM semasa sesi libat urus Belanjawan 2024, buat pertama kalinya AIM menerima peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Belanjawan 2024 bagi meningkatkan lagi jumlah pembiayaan yang disasarkan pada tahun 2024.


“AIM turut mempunyai perancangan bagi mendapatkan pembiayaan tambahan melalui fasiliti Kredit Berputar (Revolving Credit) berjumlah RM100 juta dengan pihak bank bagi meningkatkan pembiayaan AIM di peringkat negeri termasuk di Sabah.


“Ini akan meningkatkan jumlah modal pembiayaan kepada Sahabat Usahawan AIM di Sabah. Selain daripada RM230 juta yang telah disediakan, akan ditambah lagi melalui tambahan Belanjawan RM100 juta dan fasiliti Revolving Credit RM100 juta tersebut,” katanya.

bottom of page