- nabalunews
RM500,000 menanti atlet Sabah menang pingat emas Paralimpik Paris 2024
13 Ogos 2024
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menawarkan ganjaran insentif RM500,000 kepada atlet dari negeri itu yang meraih pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula 28 Ogos hingga 8 Sept ini.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata seramai tiga atlet Sabah terpilih mewakili negara dalam temasya itu iaitu Jonathan Wong Kar Gee dan Eddy Bernard masing-masing acara lompat jauh lelaki (T12) serta 100 meter (T44) dan Mohd Amin Burhanuddin bagi acara badminton (SL4).
Menurut laporan Bernama, tiga atlet Sabah itu merupakan antara 29 atlet disahkan mewakili Malaysia dalam sukan paralimpik Paris 2024.
Beliau berkata kementeriannya berharap tiga atlet Sabah itu mampu membuat kejutan membawa pulang pingat emas seterusnya mengharumkan nama negeri dan negara.
“Jika dilihat prestasi atlet lompat jauh (Jonathan Wong), kita mengharapkan sekurang-kurangnya pingat perak. Semoga ada kejutan emas pertama untuk Malaysia oleh atlet Sabah.
“Begitu juga dengan Eddy dan Amin. Kedua-dua mereka ini juga sudah berlatih dengan gigih dan boleh memberi kejutan membawa pulang pingat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ellron berkata setakat ini belum ada atlet Sabah menghadiahkan kilauan pingat emas untuk kontinjen negara dalam kejohanan sukan paralimpik dan berharap ketiga-tiga atlet berkenaan berupaya merealisasikan harapan itu.
Comments