RMK13: RM67 bilion diperuntukkan untuk sektor pendidikan
- nabalunews
- Jul 31
- 2 min read

31 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67 bilion bagi sektor pendidikan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), merangkumi pembinaan sekolah baharu, membaik pulih dan menaik taraf bangunan sekolah di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu turut melibatkan pembangunan tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), serta penambahbaikan fasiliti dan kemudahan di institusi pendidikan tinggi awam.
“Pembinaan sekolah juga akan dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar yang baharu.
“Selain itu, pembinaan sekolah vertikal akan diperluaskan bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah yang bersesuaian,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Sebagai rekod, katanya kerajaan telah menaik taraf sebanyak 1,200 sekolah daif di seluruh negara sehingga tahun 2025.
Menurutnya, kerajaan juga bertekad untuk memastikan kadar enrolmen murid prasekolah dan m menengah mencapai 98 peratus, iaitu melebihi kadar enrolmen sejagat.
Sementara itu, Anwar berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan penanda aras utama pada peringkat kebangsaan akan terus diguna pakai untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi sistem pendidikan.
“Pada mada sama, kualiti pendidikan negara akan ditingkatkan agar berada separas purata antarabangsa berdasarkan penilaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi memastikan sistem pendidikan kekal berdaya saing dan relevan.
“Bagi mempertingkatkan keberhasilan pendidikan, kerajaan sedang bergerak ke arah mewajibkan prasekolah bermula umur 5 tahun. Dalam masa sama, lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disediakan terutama di kawasan desa,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata tumpuan juga akan diberikan untuk memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu di semua peringkat, selain menjadikan Bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada bahasa pembelajaran dan perhubungan, manakala pembelajaran bahasa tambahan akan turut diperluas.
Beliau berkata, penekanan turut diberikan kepada pengukuhan pendidikan STEM dan literasi digital, termasuk pengenalan asas AI, bagi melahirkan generasi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran kerja masa depan yang bernilai tinggi.
“Sistem pendidikan negara akan diperkemas agar lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan. Untuk ini, KPM akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengawal selia pendidikan prasekolah hingga menengah.
“Manakala pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi akan diselaras oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan matlamat memperjelas bidang kuasa dan meningkatkan kecekapan dasar serta pelaksanaan,” katanya.


















Comments