Rundingan penjanjian dengan AS pertahan kedaulatan, ekonomi Malaysia - Tengku Zafrul
- nabalunews
- 8 hours ago
- 2 min read

29 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai pilihan selain meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mempertahankan kedaulatan, kepentingan dan ekonomi negara susulan tindakan Washington mengenakan tarif unilateral ke atas negara rakan dagangnya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata rundingan yang diadakan bukan atas kehendak Malaysia sebaliknya dilakukan bagi menangani langkah tarif yang turut menjejaskan ratusan negara lain yang berdagang dengan AS.
"Rundingan ini bukanlah pilihan yang kita minta. Tidak seperti rundingan perdagangan biasa yang dilakukan atas persetujuan bersama, ini adalah tarif unilateral yang dikenakan kepada kita dan banyak negara lain.
“Suka atau tidak, kita perlu berhadapan dengan realiti ini yang jelas tidak adil. Ini adalah realiti geopolitik yang kita hadapi sebagai sebuah negara perdagangan terbuka berdepan kuasa ekonomi terbesar dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri pada mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurut Tengku Zafrul, AS kekal sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala pada 2024 mencatatkan RM325 bilion, dengan eksport bernilai hampir RM200 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025 pula katanya, jumlah eksport negara ke AS mencecah RM166.38 bilion.
“Ini pasaran yang penting buat Malaysia. Mahu tidak mahu, kita perlu bangkit mempertahankan akses kepada pasaran ini walaupun berhadapan dengan tekanan tarif timbal balas bersifat unilateral oleh kerajaan AS," katanya.
“Kita bangkit berunding untuk mempertahan kelangsungan perniagaan, melindungi punca pendapatan rakyat Malaysia, mengekalkan pasaran eksport serta mempertahankan maruah negara sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia mengambil keputusan untuk memulakan proses rundingan dengan AS seawal Mei tahun ini, bagi mendapatkan kadar tarif lebih rendah agar barangan eksport Malaysia terus kekal berdaya saing.
Pendekatan itu katanya, juga dilihat boleh memberi kelebihan kepada negara berbanding dengan pilihan tidak berbuat apa-apa atau mengambil tindakan balas terhadap AS yang berisiko menjejaskan pasaran eksport negara merentasi pelbagai sektor.
Pada 2 April 2025, Malaysia dikenakan kadar tarif 24 peratus, seterusnya dinaikkan kepada 25 peratus pada Julai 2025 berikutan ketidakseimbangan perdagangan antara Malaysia-AS.
AS kemudiaannya mengumumkan penurunan kadar tarif ke atas barangan import dari Malaysia kepada 19 peratus yang berkuat kuasa 1 Ogos lalu.














