top of page

RUU Pekerja Gig dibentang di Dewan Rakyat

  • nabalunews
  • Aug 25
  • 2 min read

ree

25 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bertujuan memberi perlindungan dan mengiktiraf peranan pekerja sektor berkenaan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.


Ia juga menjadi detik bersejarah dalam mengiktiraf lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara melalui ekosistem ekonomi gig lebih adil, progresif dan inklusif.


Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan berkata, RUU itu memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu pertama, definisipekerja gig, kedua, pendapatan atau kadar bayaran, ketiga, mekanisme penyelesaian pertikaian dan keempat, perlindungan sosial.


“Dengan penggubalan RUU ini, Malaysia bukan sahaja melangkah setapak ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem ekonomi gig yang lebih adil, progresif dan inklusif, malah bakal menyertai 15 negara terawal di dunia yang memberi definisi jelas kepada pekerja gig,” menurut kementerian itu.


RUU Pekerja Gig 2025 yang mengandungi 10 bahagian dengan 112 fasal itu digubal menerusi mandat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac 2024 kepada KESUMA untuk melihat mekanisme perlindungan pekerja gig.


Susulan itu katanya, kementerian menubuhkan Jawatankuasa Kerja Penggubalan RUU Pekerja Gig dan menjalankan 28 siri bengkel serta tujuh sesi perbincangan bersama Jabatan Peguam Negara bagi meneliti serta memuktamadkan draf RUU tersebut.


“Sejak 22 Oktober sehingga 7 Ogos lalu, sebanyak 37 sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh antaranya dua sesi bersama Timbalan Perdana Menteri, serta 14 sesi bersama kementerian, agensi serta kerajaan Sabah dan Sarawak.


“Selain itu, 13 sesi bersama pekerja gig, penyedia platform dan bukan platform dan tujuh sesi bersama pemegang taruh serta pemain industri di enam zon utama iaitu di utara, tengah, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak,” jelas kementerian itu.


Dalam pada itu, kementerian turut menjalankan lawatan penandaarasan ke Singapura untuk meneliti Platform Workers Act 2024 serta menyertai perbincangan antarabangsa di International Labour Conference (ILC) ke-113 di Geneva, Switzerland.


Menurut KESUMA, RUU ini bukan sahaja menjamin masa depan yang mampan dan seimbang bagi lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara, malah mengangkat kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing di pentas antarabangsa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page