Sabah beralih ke Fasa 3 PPN berkuatkuasa Isnin depan (18 Okt)Sabah beralih ke Fasa 3 PPN berkuatkuasa Isnin depan (18 Okt)
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Sabah beralih ke Fasa 3 PPN berkuatkuasa Isnin depan (18 Okt)


15 Okt 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Sabah akan beralih daripada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada Fasa 3 bermula Isnin depan (18 Oktober).


Selain Sabah, negeri-negeri lain yang akan beralih ke Fasa 3 ialah Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.


Manakala Melaka dan Lembah Klang (WP Putrajaya, WP Kuala Lumpur, Selangor) pula akan beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4.


Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan fasa itu mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 berkata, berdasarkan laporan kes positif Covid-19 harian yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), negara mencatatkan bilangan kes di bawah 10,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu berturut-turut.


“Kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan dengan mencatatkan angka di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.


“Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95 peratus manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula sebanyak 91.2 peratus dan dijangka terus meningkat.


“Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik pada hari ini bersetuju membenarkan peralihan fasa bagi negeri-negeri berkenaan berkuatkuasa 18 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Ismail berkata, prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my.


“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.


“Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya.

bottom of page