top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah catat nilai Rt tertinggi 1.47


7 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 Malaysia atau nilai Rt ialah pada 1.27, setakat Ahad, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Menerusi ciapan Twitternya hari ini, beliau berkata ini adalah peningkatan 0.07 daripada nilai 1.20 Rt yang dilaporkan sehari sebelumnya.


Tambahnya, nilai semasa Rt untuk semua negeri telah pun melepasi tahap 1.0, dengan negeri Sabah mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.47.


Sementara itu, nilai Rt di Perlis ialah 1.40, diikuti Sarawak (1.30), dan Labuan, Putrajaya serta Kedah masing-masing mencatatkan nilai Rt 1.25.


Nilai Rt di Terengganu ialah pada 1.23, Johor (1.22), Selangor (1.21), Pulau Pinang dan Pahang masing-masing pada 1.20.


Lima negeri melaporkan nilai Rt kurang daripada 1.20, iaitu Melaka pada 1.16, Perak (1.15), Negri Sembilan (1.13), Kelantan (1.11) dan Kuala Lumpur dengan nilai 1.10 Rt.


Semalam negara merekodkan 10,089 jangkitan baharu, menjadikan jumlah kes kumulatif Covid-19 kepada 2,914,220 sejak wabak itu melanda pada awal 2020.

Comments


bottom of page