- nabalunews
Sabah dihukum kerana hilang fokus
14 Ogos 2024
KOTA KINABALU : Sabah FC menerima hukuman akibat hilang fokus menyebabkan tuan rumah tewas 1-2 di tangan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Selasa lalu.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee mengakui faktor itu antara punca kegagalan pasukannya untuk mendapat sekurang-kurangnya satu mata ketika bermain di laman sendiri.
Kim Swee turut mengakui pemain Sabah FC berdepan kesukaran menghadapi Selangor kerana pasukan itu mempunyai pemain berkualiti.
“Kita dihukum dengan kesilapan kita sendiri dan seperti kita tahu, Selangor mempunyai pemain berkualiti dan ini menyukarkan kita, terutama apabila beberapa pemain yang ditukar tidak dapat menjalankan tugas dengan begitu baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
Beliau berkata, apa yang berlaku pada perlawanan itu akan dijadikan pengajaran bagi mengelak perkara sama daripada berulang pada perlawanan seterusnya.
“Ini satu pengajaran buat semua pemain, di mana kita tidak boleh hilang fokus terutama pada minit terakhir yang mana kita dibolosi melalui sepakan sudut,” katanya.
Dalam aksi Selasa lalu, Sabah mendapat gol pendahuluan pada minit ke-27 akibat kesilapan kapten Selangor, Muhammad Safuwan Baharuddin yang tersepak bola ke arah gawang.
Kesilapan itu berlaku ketika beliau dan penjaga gol, Samuel Jacob Somerville cuba menghalang penyerang Sabah, Darren Lok daripada menerima hantaran berbahaya Mohd Firdaus Jafri Chew di hadapan gawang.
Penyerang Selangor, Ronnie Allan Fernandez berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-31 akibat kesilapan hantaran pertahanan Sabah di hadapan gawang sendiri.
Pada babak kedua, Harith Haiqal Adam Afkar menghadiahkan gol kemenangan buat Selangor selepas menyepak masuk bola yang terlepas dari dakapan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-85.
Comments