top of page
nabalunews

Sabah FC belasah PT Athletic FC 4-0, hadiah perpisahan buat Kim Swee


23 November 2024


KUALA LUMPUR: Perlawanan terakhir Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bersama skuad The Rhinos berakhir dengan penuh bermakna apabila skuad kendaliannya menewaskan PT Athletic FC 4-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, petang tadi.


Pertemuan Sabah FC menentang PT Athletic FC itu menjadi perlawanan terakhir Kim Swee bersama Sabah apabila bekas pengendali skuad kebangsaan itu tidak menyambung kontraknya yang akan berakhir bulan ini.


Sabah FC yang turun selaku pasukan pilihan berada di depan pada minit ke-13 hasil jaringan Saddil Ramdani sebelum Danial Haqim Draman menambah gol kedua enam minit kemudian.


Pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin berjaya merapatkan kedudukan buat PT Athletic pada minit ke-58, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR).


Pemain gantian, Daniel Ting mengukuhkan kedudukan buat Sabah apabila meledak gol ketiga pada minit ke-78 sebelum The Rhinos meraih jaringan keempat selepas hantaran Ummareng Bacok tertampan pertahanan PT Athletic dan menerjah jaring.


Kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertembung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Rabu ini selepas Stadium Likas tidak dapat digunakan susulan penganjuran Kejohanan Olahraga Remaja ASEAN.


Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya sebelum ini dilaporkan berkata setakat ini belum ada nama pengganti dicadangkan kepada Sabah FC bagi mengambil alih tugas yang ditinggalkan Kim Swee, namun seorang 'caretaker' bakal dilantik.

Comentarios


bottom of page