Sabah perlu gubal satu enakmen kawal perkhidmatan bekalan airSabah perlu gubal satu enakmen kawal perkhidmatan bekalan air
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah perlu gubal satu enakmen kawal perkhidmatan bekalan air


29 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sabah perlu menggubal satu enakmen bagi mengawal selia industri perkhidmatan bekalan air di negeri tersebut.


Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini juga bagi memastikan pengasingan antara fungsi pengawalseliaan dan operasinya.


Selain itu, ia juga membolehkan penubuhan badan kawal selia yang boleh membantu memastikan industri perkhidmatan air di Sabah dapat beroperasi dengan lebih berkesan.


“Di peringkat persekutuan, Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara telah digubal untuk mengawal selia industri perkhidmatan bekalan air di semenanjung dan Labuan,” katanya.


Walau bagaimanapun, Ibrahim berkata, kedua-dua akta tersebut tidak terpakai di Sabah.


Beliau berkata ketika menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (Upko-Tuaran) mengenai usaha Kerajaan Persekutuan menangani isu bekalan air di Sabah semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di dewan rakyat semalam.


Tambah beliau, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) bertanggungjawab menyediakan pembiayaan pinjaman bagi pelaksanaan projek bekalan air di kawasan bandar di negeri itu.


Ujarnya lagi, sejumlah RM2.5 bilion pinjaman telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia Kelapan sehingga Rancangan Malaysia Ke-10, selain RM2.2 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.


“Peruntukan dalam bentuk geran juga diberikan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk projek bekalan air luar bandar,” katanya.

bottom of page