top of page
nabalunews

Selamat tinggal Paris 2024, jumpa di Los Angeles 2028, Terjunan Tom Cruise dari bumbung stadium tutup tirai Olimpik Paris 2024




12 Ogos 2024


PARIS: Selepas 19 hari menyajikan aksi sukan bertaraf dunia, Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang malam tadi (awal pagi Isnin di Malaysia) sebelum menyerahkan bendera Olimpik kepada bandar tuan rumah 2028 - Los Angeles (LA28) di Amerika Syarikat.


Aksi pelakon Top Gun, Tom Cruise yang melompat dari bumbung Stadium Stade de France menjadi gimik penutupan Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ahad.


Sebaik ‘mendarat’ dari terjunan setinggi kira-kira 48 meter itu, Cruise berlari membawa bendera Olimpik dalam satu penyerahan yang dramatik sekaligus menandakan detik bermulanya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.


Tom Cruise melakukan aksi itu dengan diiringi persembahan penyanyi Billie Eilish dan rapper Snoop Dogg.


Sukan Olimpik Paris menyaksikan kira-kira 10,500 atlet dari lebih 206 kontinjen bersaing dalam 329 acara daripada 32 jenis sukan di latar belakang mercu tanda kota Paris yang ikonik.


Temasya edisi ke-33 turut mencipta legasi baharu dengan 125 rekod Olimpik dan 32 rekod dunia dipecahkan sejak pertandingan bermula pada 24 Julai, dua hari sebelum upacara pembukaan.


Dalam upacara penutup awal pagi tadi? Pemain golf wanita profesional negara, Ashley Lau membawa Jalur Gemilang memasuki Stade de France dan mengetuai kontinjen Malaysia seramai 10 ahli termasuk timbalan ketua kontinjen Datuk Nicol David, atlet terjun Nur Dhabitah Sabri serta Bertrand Rhodict Lises.

Comments


bottom of page