Semua kaum ada hak dan peranan bangunkan Malaysia: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Semua kaum ada hak dan peranan bangunkan Malaysia: Ewon


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

20 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SLIM RIVER: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, semua kaum di negara ini mempunyai hak dan peranan untuk bersama-sama membangunkan Malaysia.


Sehubungan itu katanya, kerajaan perpaduan memberikan perhatian seimbang kepada semua kaum termasuk bumiputera, bukan bumiputera, orang asal Sabah dan Sarawak agar sama-sama memberi sumbangan kepada pembangunan negara.


“Mengimbas kembali penubuhan Persekutuan Malaysia 60 tahun yang lepas, ia ditubuhkan supaya semua warganegara Malaysia sama ada bumiputera, bukan bumiputera, Melayu, Cina, India, orang asli, Kadazan, Iban dan semua bangsa sama-sama membina dan membangunkan negara ini.


Ewon bergambar bersama anak-anak orang asli.

“Kita harus bangga kerana walaupun negara kita pelbagai bangsa dan agama namun terus kekal bersatu padu. Keharmonian dan pepaduan kaum ini harus dikekalkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan agenda pembangunan negara yang dirancang berjalan lancar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Asal dan Karnival Usahawan dan Koperasi Orang Asal Perak anjuran bersama KUSKOP dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di Padang Kg.Orang Ali Pisang Ulu Rasau, Slim River, di sini, kelmarin.


Ewon berkata, dari segi pembangunan keusahawanan, kementeriannya melalui Tekun Nasional menyediakan skim khusus untuk orang asal.


“Kementerian mewujudkan skim khusus untuk orang asal iaitu Skim Pembiayaan Orang Asli (SPORA) untuk membantu usahawan-usahawan orang asal mendapatkan pembiayaan.


Unduk Ngadau Kaamatan Perak 2023, turut hadir memeriahkan sambutan itu.

“Setakat ini, Tekun Nasional telah menyalurkan sejumlah RM6.6 juta pembiayaan kepada 635 usahawan seluruh negara. Tahun ini sahaja, sebanyak RM502,000 disalurkan kepada 26 usahawan orang asli.


“Inilah hasrat kerajaan dan kementerian saya supaya semua masyarakat di negara ini termasuk orang asli maju bersama dalam pelbagai aspek terutamanya dalam keusahawanan,” katanya.


Selain itu katanya, wakil orang asli turut dilantik menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa).


Sebahagian daripada ketua-ketua jabatan dan agensi yang hadir pada sambutan itu.

“Apabila saya mencadangkan dan mengemukakan nama saudara Dato Suki Mee, sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah di IKMa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya pemimpin dan masyarakat orang asli juga layak dan boleh diangkat menjadi pemimpin serta pembuat dasar kerajaan.


“Saya berharap melalui pelantikan itu, gerakan koperasi dan keusahawanan masyarakat orang asli terus berkembang maju.


“Disamping itu, saya juga berharap agar penglibatan belia orang asli dalam keusahawanan akan terus diperkasakan sesuai dengan tema sambutan Hari Orang Asal “Memperkasa Belia Orang Asal sebagai Agen Perubahan”,’. Katanya.


Ewon disambut dengan paluang gong masyarakat Kadazandusun yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar UPSI.

Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia disambut pada 9 Ogos setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran dan melindungi hak penduduk orang asli dunia. Acara ini juga mengiktiraf pencapaian dan sumbangan orang asli dalam pelbagai bidang.


Sempena sambutan itu pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pameran dan jualan usahawan orang asal, persembahan kebudayaan, nyanyian dan pertandingan peragaan pakaian tradisional orang asal.


Turut diadakan bicara Orang Asal bersama Tokoh Orang Asal, pertandingan bola sepak dan sukan tradisional, informasi berkaitan kesihatan dan pameran-pameran daripada agensi-agensi KUSKOP.





bottom of page