SEPAKAN FERNANDES SINGKIRKAN LIVERPOOL DARI PIALA FA
- nabalunews
- Jan 25, 2021
- 2 min read

25 JAN 2021
MANCHESTER: Nasib tidak menyebelahi Liverpool apabila sepakan percuma Bruno Fernandes membantu pasukan Manchester United menang 3-2 dalam pertembungan dua gergasi Liga Inggeris pada pusingan keempat Piala FA di Old Trafford awal pagi tadi.
Pemain Portugal itu, yang turun dari bangku simpanan pada minit ke-66, membawa impak besar apabila berjaya menyempurnakan sepakan bebas yang cantik pada minit ke-78, sekaligus membantu pasukannya melangkah pusingan seterusnya menentang West Ham United.

Seminggu selepas perlawanan di mana kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang ketika terikat seri 0-0 dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield, perlawanan awal pagi tadi lebih menarik apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Mohamed Salah menjaringkan kedua-dua gol Liverpool, dan gol pertamanya meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-18 sebelum Mason Greenwood menyamakan kedudukan menerusi gerakan cantik lapan minit kemudian.
Memasuki babak kedua perlawanan, United menggandakan asakan apabila jaringan Marcus Rashford meletakkan United di depan pada minit ke-48 namun Salah berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-58 menjadikan perlawanan semakin menarik.
Liverpool kelihatan cuba bangkit kembali untuk menyamakan kedudukan selepas sepakan Fernandes yang berjaya membolosi penjaga gol Liverpool, Alisson namun peluang itu disia-siakan.
Liverpool yang menunjukkan peningkatan berbanding perlawanan lalu kelihatan akan memenangi perlawanan ini tetapi jaringan Fernandes memutuskan harapan Liverpool untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA.
Liverpool kini hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan, namun penampilan mereka pada hari ini menampakkan kembali corak permainan pasukan yang berjaya merangkul gelaran juara Inggeris musim lalu.
"Banyak pengajaran boleh diambil dalam perlawanan ini, kami berusaha belajar dari setiap pertandingan. Ianya bagus untuk Mo Salah, bagus untuk menambahkan keyakinan. Namun begitu, ianya adalah permainan yang sukar,”kata pengurus Liverpool Juergen Klopp.
Barisan penyerang Liverpool gagal menjaringkan gol dalam empat daripada lima perlawanan terakhir mereka, termasuk kekalahan mengejutkan tuan rumah minggu ini oleh Burnley di Liga Perdana. - Reuters
Comments