- nabalunews
Shinji Nakano mohon maaf langgar Shah Firdaus
12 Ogos 2024
KUALA LUMPUR : Akibat tidak tahan diserang netizen Malaysia, pelumba basikal trek Jepun, Shinji Nakano tampil memohon maaf, atas insiden pelanggaran dengan wakil negara, Shah Firdaus Sahrom, yang meragut peluang membutirkan pingat dalam acara final keirin Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
Menerusi perkongsian pelumba terbabit di Tiktok, dia memohon netizen Malaysia tidak lagi menganggu dia dan keluarganya atas insiden itu.
"Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kesilapan saya.
"Tolong jangan sebut nama keluarga saya. Saya harus bertanggungjawab dan tolong jangan libatkan keluarga saya," tulis pelumba terbabit, lapor Harian Metro.
Nakano menjadi mangsa kemarahan netizens Malaysia kerana didakwa melanggar Shah Firdaus sehingga terjatuh ketika menuju selekoh terakhir dengan peluang meraih pingat gangsa.
Namun malangnya, harapan pingat gangsa yang tampak sudah berada dalam genggaman pelumba Malaysia, terpaksa dilupakan apabila Shah Firdaus terlibat dengan kemalangan dengan pelumba Jepun itu.
Insiden terbabit menyebabkan kedua-dua pelumba itu bersama wakil Britain Jack Carlin terjatuh sebelum tiba ke garisan penamat.
Comments