Sindiket pelacuran babitkan pelajar sekolah menengah tumpas
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

15 Ogos 2025
KENINGAU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia yang menjadikan pelajar sekolah sebagai mangsa eksploitasi seks, dalam siri operasi yang dijalankan pada 24 hingga 29 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket merekrut remaja perempuan termasuk dua pelajar tingkatan dua untuk ditawarkan kepada pelanggan.
Katanya, kegiatan berkenaan bagaimanapun terbongkar selepas ibu bapa mangsa membuat laporan polis pada 24 Julai lalu.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau menyelamatkan empat mangsa berusia antara 13 hingga 21 tahun, manakala lapan individu ditahan bagi membantu siasatan.
“Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang dikenali sebagai “Elly” disyaki bertindak sebagai ‘ibu ayam’ telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya.
Yampil berkata, siasatan mendedahkan suspek mencari pelanggan melalui aplikasi media sosial dengan bayaran sekitar RM200 bagi setiap perkhidmatan.
Katanya, mangsa akan dihantar ke hotel yang telah ditetapkan manakala bayaran dibahagi antara suspek dan mangsa.
“Semua mangsa telah dihantar ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan lanjut dan kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak.
“Bagi dua mangsa bawah umur, Mahkamah meluluskan Perintah Perlindungan selama tiga bulan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan di Ampang, Selangor sehingga 13 November depan,” katanya.
Sehubungan itu, Yampil menasihati masyarakat khususnya ibu bapa agar peka terhadap pergerakan anak-anak dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang di daerah ini.