SKM luluskan bantuan sejumlah RM663 ribu kepada 9 koperasi di Sabah, tahun lalu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

SKM luluskan bantuan sejumlah RM663 ribu kepada 9 koperasi di Sabah, tahun lalu

22 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM663,000 bantuan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) diluluskan kepada sembilan koperasi di Sabah, sepanjang tahun lalu.


Beliau berkata,, daripada jumlah itu, empat koperasi adalah koperasi daripada Kawasan Pantai Barat Utara yang menerima bantuan SKM dengan nilai keseluruhan sebanyak RM470,000 untuk membantu meningkatkan perniagaan koperasi.


“Manakala bagi TMPSKM pula sebanyak RM4,364,500 telah diluluskan dengan jumlah koperasi yang menerima pembiayaan ini sebanyak 9 buah.


“SKM berharap dengan adanya bantuan seumpama ini akan memperkasakan lagi gerakan koperasi di Sabah khususnya di Malaysia amnya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pejabat Baharu SKM Wilayah Pantai Barat Utara (PBU), di Grand Merdeka Malll, di sini, hari ini.


Ewon berkata, kementerian melalui SKM juga telah mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan upaya gerakan koperasi dengan pelbagai kemudahan seperti geran bantuan pembangunan koperasi sehingga RM300 ribu dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) sehingga RM30 juta.


Katanya, sehingga 31 Disember tahun lalu, bilangan koperasi yang berdaftar di seluruh negara sebanyak 15,809 buah dengan jumlah keanggotaan seramai 7.2 juta orang.


“Dari segi modal syer/yuran sejumlah RM17.4 bilion telah direkodkan dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM165.8 bilion dan nilai perolehan keseluruhan sebanyak RM64.5 billion.


“Manakala, Data Perangkaan Koperasi Negeri Sabah setakat 31 Disember 2023, jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,798 buah, dengan kekuatan anggota seramai 369,619 orang.


“Syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM256 juta, aset terkumpul bernilai RM945 juta dan pencapaian jumlah perolehan RM677.8 juta,” katanya.

 

Ewon berkata, sebagai pertubuhan yang besar, gerakan koperasi berupaya menjadikan negara ini terus kukuh dan teguh dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.


“Sehubungan itu, usaha-usaha berterusan perlu dilaksanakan secara strategik bagi memastikan sektor koperasi terus kompetitif dan kekal lestari,” katanya.

bottom of page