SME Bank sasar bimbing 400 usahawan Asnaf melalui Program SME Bank iTEKAD ISHRAF
top of page
  • Wartawan Nabalu News

SME Bank sasar bimbing 400 usahawan Asnaf melalui Program SME Bank iTEKAD ISHRAF

Ewon menyampaikan cenderahati penghargaan kepada salah satu wakil Rakan Strategik.

20 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA  LUMPUR: SME Bank sasar bimbing 400 usahawan Asnaf melalui program SME Bank iTEKAD ISHRAF yang dilancarkan hari ini dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan enam enam lagi rakan strategik program.


Program Keusahawanan Asnaf yang sebelum ini dikenali sebagai Program ISHRAF SME Bank, dijenamakan semula menjadi Program SME Bank iTEKAD ISHRAF setelah diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai inisiatif yang seiring dengan objektif Program kewangan sosial, iTEKAD yang dinaungi BNM.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementerian optimis apabila melihat jumlah penyertaan dinaikkan lebih lima kali ganda daripada hanya 79 orang untuk Program ISHRAF 2.0 kepada 400 orang bagi siri ketiga.


“Berpandukan objektif untuk melahirkan usahawan asnaf yang lebih kompetitif dan berdaya tahan, program SME Bank iTEKAD ISHRAF seiring dengan pelan strategik KUSKOP 2023.


“Antaranya memberi fokus terhadap pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan dan koperasi agar lebih berdaya maju dan boleh beradaptasi dengan perubahan.


“Di samping itu, program ini juga menyokong konsep Malaysia MADANI yang menjadi kompas untuk kita maju ke hadapan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan Asnaf SME Bank Itekad ISHRAF, di World Trade Centre, di sini, hari ini.


Ewon berkata, Program SME Bank iTEKAD ISHRAF melengkapkan visi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam menjadi pemangkin pembangunan kumpulan B40 dan usahawan sosial negara.


“Inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi KUSKOP yang ingin melahirkan golongan usahawan mikro dan sosial yang bukan hanya mampan tetapi mampu mengembangkan perniagaan mereka.


“Selain melahirkan lebih ramai usahawan yang mampan dan berdaya saing, KUSKOP juga bergerak atas misi untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif,” katanya.


Beliau berkata, KUSKOP komited memastikan program dan dasar yang dirancang dan dilaksanakan berimpak tinggi bagi memastikan Kementerian dan agensi dapat mencapai spirasi kementerian.


“KUSKOP berharap agar Program SMEBank iTEKAD ISHRAF akan menjadi perintis kepada pelbagai lagi program pemerkasaan usahawan sosial dan pembangunan golongan B40 dan Asnaf,” katanya.

bottom of page