top of page

SPRM Bantu Kerajaan Kekang Ketirisan

  • nabalunews
  • Aug 6
  • 2 min read

ree

6 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan saja memerangi rasuah tetapi juga membantu kerajaan dalam mengekang ketirisan daripada berlaku dalam tempoh jangka panjang.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata,

usaha mengekang ketirisan yang dilaksanakan kerajaan Negeri Sabah misalnya akan memberi pelbagai impak kepada semua pihak.


“Halatuju di negeri ini, bukan hanya mencegah rasuah tetapi kita juga harus berfikir bagaimana membantu kerajaan negeri mengekang ketirisan supaya impak kepada usaha ini dilihat berpanjangan,” katanya.

ree

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Sabah di Auditorium Blok A, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah di sini, hari ini.


Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.


Pada majlis berkenaan, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah dilantik sebagai Pengarah SPRM Sabah baharu yang akan berkuat kuasa pada 15 Ogos depan bagi menggantikan Datuk Karunanithy Y. Subbiah yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang.

ree

Ahmad Khusairi berkata, Datuk Karunanithy selaku Pengarah SPRM Sabah bukan saja memainkan peranan penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap SPRM, malah telah berjaya memimpin beberapa operasi besar yang membuktikan komitmen SPRM Sabah dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.


“Beliau mempunyai komitmen luar biasa, kepimpinan yang tegas dan strategik berjaya menghadapi pelbagai cabaran besar sepanjang bertugas di SPRM Sabah,” katanya.


Ahmad Khusairi turut menjelaskan bahawa pelantikan Datuk Mohd Fuad yang merupakan anak kelahiran Sabah juga dilihat akan terus mengorak langkah memacu agenda pencegahan rasuah dengan lebih agresif dan berstrategi.


Sementara itu Datuk Karunanithy dalam ucapannya berkata, kejayaan SPRM Sabah dalam sektor operasi dan pencegahan sepanjang tempoh berkhidmat adalah hasil jalinan kerjasama strategik antara semua pihak termasuk daripada jabatan Persekutuan dan Negeri serta rakan media.


“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah terutamanya Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong.


“Kedua-dua pemimpin ini sentiasa menyambut baik segala inisiatif dan cadangan tidak kira operasi, pencegahan serta penambahbaikan tatakelola yang dikemukakan sepanjang menjawat jawatan Pengarah SPRM Sabah.


“Saya telah menerajui SPRM Sabah selama 5 tahun 11 bulan bermula 17 September 2019 sehingga menerima mandat baharu sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang dan akan melaporkan diri pada 15 Ogos 2025.


“Saya ingin menyeru warga SPRM Sabah agar sentiasa bekerjasama dan mengekalkan budaya kerja berintegriti serta profesionalisme,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page