SPRM: Turun berat badan 5 peratus untuk pertimbangan kenaikan pangkat
- nabalunews
- Aug 12, 2025
- 2 min read

12 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju mengambil kira penurunan berat badan sebanyak lima peratus sebagai pertimbangan untuk kenaikan pangkat pegawai dan anggotanya.
Keputusan itu dibuat susulan cadangan Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS), Prof Dr Rohana Abdul Ghani dan pakar kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof supaya mengambil kira usaha dan inisiatif menurunkan berat badan oleh pegawai yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) tinggi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedia menjalin kerjasama menggunakan kepakaran dan kemudahan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM serta MYOS bagi melaksanakan program kesedaran berkaitan pengurusan berat badan dan kawalan metabolik.
"Agensi ini komited untuk melaksanakan program ini bagi memperkukuh disiplin kendiri warga kerja SPRM, selain membanteras masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam.
"Sebagai agensi utama dalam penguatkuasaan dan integriti negara, SPRM menitikberatkan tahap kesihatan fizikal serta mental warga kerja," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada Dr Barakatun Nisak yang juga Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan dan HEPA) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, serta Dr Rohana di pejabatnya, pada Isnin.
Pada 3 Julai lalu, SPRM mengumumkan pelaksanaan kelayakan kenaikan pangkat yang mewajibkan pegawai dan anggotanya mengekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) tidak melebihi 27, bermula Januari 2026.
Namun, dengan keputusan terbaharu ini, penurunan berat badan 5 peratus turut akan diambil kira sebagai kriteria yang layak dipertimbangkan.
Selain itu, SPRM turut akan mengadakan Program 'Lose Weight Challenge' dan memberi ganjaran lumayan kepada peserta yang berjaya menurunkan berat badan mengikut tahap serta kriteria ditetapkan, sebagai motivasi membantu warga SPRM menjaga kesihatan.
SPRM, pada 24 Julai lalu mengadakan Program Kesedaran Pengurusan Berat Badan dan Kawalan Metabolik sebagai langkah awal bagi menyahut saranan BMI tidak melebihi 27.
Ia merangkumi saringan kesihatan asas kepada pegawai dan anggotanya, termasuk penilaian komposisi badan serta risiko metabolik, bagi mengenal pasti individu berisiko yang memerlukan intervensi lanjut.
Hasil dapatan program itu dibentangkan Dr Barakatun Nisak dan Dr Rohana, yang turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan SPRM untuk melaksanakan program pengurusan berat badan berkenaan.


















Comments