top of page

Sudah tiba masanya Azizulhasni jadi jurulatih

  • nabalunews
  • Aug 13, 2024
  • 1 min read
Kiri ke kanan. Datuk Azizulhasni Awang, Ketua Kontinjen Malaysia Ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom

13 Ogos 2024


SEPANG : Sudah tiba masanya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mencurahkan bakti kepada negara

dengan menjadi jurulatih selepas mengumumkan persaraannya pada Isnin.


Ketua Kontinjen Malaysia Ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pengalaman dimiliki Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman amat bernilai kepada atlet pelapis trek berbasikal negara.


"Saya rasa mungkin dengan umur beliau sekarang 36 dan Olimpik akan datang 40 tahun sukar untuk beliau bersaing dengan pelumba muda.


"Mungkin saya rasa ini masanya untuk beliau menabur bakti sebagai jurulatih atau penasihat dengan pengalaman lima kali beliau di Olimpik," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris, hari inim

Mengulas mengenai kelompongan yang akan timbul dengan ketiadaan Azizulhasni dalam pasukan berbasikal trek, Hamidin percaya Shah Firdaus Sahrom sudah bersedia menggalas tanggungjawab besar membawa pingat kepada negara di Olimpik Los Angeles 2028.


"Saya fikir Shah Firdaus dan adik beliau (Ridwan Sahrom) berupaya untuk mengisi tempat di Olimpik akan datang," katanya.


Sebelum ini, Azizulhasni memberikan bayangan bersara apabila telah berjanji kepada keluarganya bahawa Paris 2024 akan menjadi sukan Olimpik terakhirnya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.


Di Sukan Olimpik Paris, beliau tidak bernasib baik apabila dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin akibat kesalahan memotong pacer.


Untuk rekod, Azizulhasni memenangi pingat gangsa keirin di Rio 2016 sebelum merangkul pingat perak di Tokyo 2020 selain pernah memenangi pingat emas keirin pada Kejohanan Dunia 2017.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page