- nabalunews
Sukan Olimpik Paris 2024: Azeem terkandas pada pusingan pertama kelayakan
3 Ogos 2024
PETALING JAYA: Pelari pecut negara Muhd Azeem Fahmi gagal meneruskan saingan pada aksi 100 meter apabila sekadar menduduki tempat terakhir pada saringan kedua pusingan pertama kelayakan di Stade de France, Paris.
Azeem sekadar mencatatkan kepantasan 10.45 saat, jauh daripada rekod kebangsaan 10.09 saat.
Catatannya juga merosot berbanding 10.42 saat yang diciptanya pada pusingan kelayakan sebelum itu yang menyaksikan dia berada di tempat kedua, di belakang pelari Gambia, Ebrahima Camara.
Dalam perlumbaan itu pelari Kenya, Ferdinand Omanyala menduduki tempat pertama selepas melakukan catatan masa 10.08s, diikuti Chituru Ali dari Itali (10.12s) dan pelari Jerman, Joshua Hartmann (10.16s).
Ketiga-tiga mereka berjaya melayakkan diri ke separuh akhir yang akan berlangsung Isnin ini.
Azeem melakukan rekod kebangsaan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada 2022, memecahkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023 itu layak menerusi tiket wild card sekali gus menamatkan penantian selama 24 tahun untuk melihat kelibat pelari pecut Malaysia dalam acara 100m lelaki sejak kali terakhir dilakukan atlet Sarawak, Watson Nyambek pada.Atlanta 1996 dan Sydney 2000.
Sementara seorang lagi bekas jaguh pecut negara dan Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad hanya membuat kemunculan dalam acara 200m pada edisi Athens 2004..l
Comments