- nabalunews
Sukan Olimpik Paris 2024 : Azizulhasni pecahkan rekod kebangsaan, lepasi kelayakan pecut
7 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mencipta rekod baharu kebangsaan acara pecut individu apabila mencatatkan masa 9.402 saat (s) pada sesi kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.
Catatan yang dilakukan itu mengatasi rekod 9.523s miliknya yang dilakar pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu.
Azizulhasni yang diberi jolokan The Pocket Rocketman menamatkan sesi kelayakan itu di kedudukan ke-10 untuk mara ke pusingan pertama malam ini.
Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom turut berada dalam kelompok 24 pelumba ke pusingan pertama apabila berada di tempat ke-22 dengan catatan 9.635s.
Pusingan kelayakan itu turut menyaksikan dua kali rekod dunia
yang sebelum ini dipegang pelumba Trinidad and Tobago, Nicholas Paul (9.100s) berjaya dipecahkan.
Pelumba Australia, Matthew Richardson terlebih dahulu memecahkan rekod dunia apabila mencatat 9.091s.
Pemenang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo, Harrie Lavreysen dari Belanda yang tampil sebagai pelumba terakhir dalam pusingan kelayakan itu bagaimanapun berjaya melakar rekod dunia baharu dengan catatan masa 9.088s.
Azizulhasni akan berdepan Luca Spiegel dari Jerman di pusingan pertama manakala Shah Firdaus berdepan pelumba Israel, Mikhail Iakovlev.
Sementara itu, pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terkandas di pusingan pertama acara keirin apabila menamatkan perlumbaan heat kelima di kedudukan keempat.
Nurul Izzah yang kali pertama tampil di Sukan Olimpik bagaimanapun masih berpeluang untuk ke suku akhir apabila akan bersaing dalam pusingan repechage, malam ini.
Comments