top of page

Sultan Ibrahim adakan lawatan negara ke Arab Saudi, Bahrain

  • nabalunews
  • Nov 2
  • 2 min read

ree

2 November 2025


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan berangkat mengadakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain bermula esok.


Menurut kenyataan Istana Negara memaklumkan, keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Arab Saudi membuka lembaran baharu dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 68 tahun.


Lawatan berkenaan turut mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada tahun 1984.


“Semasa berada di Riyadh, Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah,” menurut kenyataan itu hari ini.


Istana Negara memaklumkan, keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi dan Bahrain akan diiringi paduka anakanda, iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.


Turut serta, Menteri Pertahanan selaku Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


"Lawatan negara ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam," jelas kenyataan itu.


Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.


Negara Tanah Suci itu juga rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (AS$9.79 bilion).


“Hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah. Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesa dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah haji dan umrah Malaysia saban tahun,” tambah kenyataan itu.


Menurut Istana Negara, selesai lawatan di Arab Saudi, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain pada 6 November atas persilaan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa bagi lawatan negara yang julung kali diadakan sejak hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain terjalin pada 1974.


Malaysia dan Bahrain juga bekerjasama dalam pelbagai sektor, dengan jumlah nilai perdagangan sebanyak RM1.19 bilion (USD0.26 bilion) pada tahun lalu, selain penglibatan aktif di pentas antarabangsa menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC-ASEAN).


Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah lawatan ke Arab Saudi dan Bahrain merupakan kesinambungan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan pelbagai negara luar demi kepentingan dan manfaat rakyat serta negara.


"Pada lawatan negara saya ke Singapura, Brunei, China dan Rusia, saya sentiasa menekankan kepentingan kerjasama dan persahabatan erat yang memberi manfaat bersama kepada rakyat dan negara kita.


"Arab Saudi dan Bahrain adalah dua negara yang amat dekat di hati saya serta mempunyai hubungan strategik yang penting. Saya mohon rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan lawatan ini demi manfaat jangka panjang negara kita," titah Seri Paduka Baginda.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page