Sultan Ibrahim angkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sultan Ibrahim angkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17

31 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim, telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) yang diadakan di Istana Negara hari ini.


Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.


Turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.


Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu disaksikan oleh Sultan dan Raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan.


Sultan Ibrahim juga menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan, yang isi kandungannya dibacakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Sebelum itu, Sultan Ibrahim berangkat dari Istana Bukit Serene, Johor pada 7.45 pagi sebelum berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke ibu negara.


Baginfa disambut di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira 9.45 pagi sebelum berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.


Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lepas.


Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.


I

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page