Syed Saddiq persoal ketidakcekapan kerajaan dalam menangani isu banjirSyed Saddiq persoal ketidakcekapan kerajaan dalam menangani isu banjir
top of page
  • Farah Salim

Syed Saddiq persoal ketidakcekapan kerajaan dalam menangani isu banjir


13 Januari 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpendapat bahawa Kerajaan culas dan tidak responsif dalam mengendalikan isu banjir yang melanda negara baru-baru ini.


Beliau berkata krisis banjir yang melanda di beberapa negeri telahpun bermula sejak dari pertengahan bulan Disember 2021, tetapi dalam tempoh tersebut, Kerajaan jelas tidak responsif kerana sehingga hari ini tidak ada sidang media harian yang jelas mengenainya.

“Apabila saya sebut kerajaan culas dalam krisis banjir, inilah yang saya maksudkan.

Kalau kerajaan ingat, krisis banjir ini dah bermula dari pertengahan bulan Disember 2021.


“Banjir di Selangor pada 19 Disember 2021, banjir di Pahang pada 19 Disember 2021, banjir di Melaka pada 30 Disember 2021 dan banjir di Johor pada 1 Januari 2022. Ini anggaran tarikh yang saya ingat.


“Krisis di Taman Sri Muda dah viral sejak hari pertama krisis banjir. Air naik memang sangat deras. Mangsa dah banyak terperangkap di atas bumbung. Ada bayi yang kesejukan masih duduk di atas bumbung rumah. Sama juga di Sri Nanding, Hulu Langat.


“Dalam tempoh yang panjang ini, kerajaan memang jelas tidak responsif,” kata Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar di dalam akaun Facebooknya.


Ujarnya, sehingga hari ini tidak ada menteri yang benar-benar menggalas tanggungjawab untuk menguruskan isu banjir tersebut.


Selain itu, tidak ada sidang media harian yang menjelaskan mengenai isu tersebut serta tidak ada laporan kerosakan yang ditanggung mangsa banjir,


“Kalau ingat waktu fasa awal Covid-19, kita dapat tengok Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham buat sidang media hari-hari untuk beritahu perkembangan krisis Covid-19.


“Kenapa banjir kali ni tak ada? Kenapa lepas tangan? Ingat, pembangkang juga sudah usulkan untuk bawa usul krisis banjir pada 20 Disember 2021 tetapi ditolak.


“Sekarang, barulah kerajaan nak buat mesyuarat khas Parlimen berkenaan banjir. Itupun pada 20 Januari 2022,” katanya.


Beliau juga mempoersoalkan mengapakah krisis banjir sebegini besar boleh ditangguh dan dilengah-lengahkan pihak Kerajaan.


“Saya tidak pasti mengapa hal krisis negara sebegini besar boleh ditangguh dan dilengah-lengahkan. Adakah menteri terlalu sibuk membantu mangsa banjir di kawasan terkesan? Atau menteri fikir krisis banjir ini tidak begitu besar dan boleh ditunggu sehingga hujung bulan satu tahun baru?


“Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Saya akan hadir untuk mesyuarat khas Parlimen ini dan akan bawa isu yang dihadapi mangsa banjir,” katanya.

bottom of page