Tekun Nasional naikkan had pembiayaan Kontrak-i RM200,000 mulai tahun depan: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tekun Nasional naikkan had pembiayaan Kontrak-i RM200,000 mulai tahun depan: Ewon


Ewon menyampaikan skim pembiayaan Tekun Nasional kepada salah seorang penerima.

24 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, TEKUN Nasional akan menaikkan had pembiayaan maksimum RM200,000 bagi usahawan kontraktor bermula Januari tahun depan.


Beliau berkata, ini akan membantu usahawan kontraktor melaksanakan kerja-kerja yang mereka dapat daripada kerajaan atau badan berkanun.


“Kita menerima maklum balas daripada usahawan kontraktor terutamanya di Sabah yang mendapat projek kecil-kecilan daripada kerajaan atau badan berkanun. Selama ini meraka dapat pinjaman RM100,000 daripada Tekun Nasional melalui Kontrak-i, mulai Januari tahun depan, kita naikkan kepada RM200,000 supaya mereka ada modal melaksanakan projek.


“Kenaikan had maksimum ini adalah bagi membantu usahawan dalam bidang perkhidmatan kontraktor selaras dengan keperluan semasa," katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesepaduan Komuniti Usahawan dan Koperasi Parlimen Penampang di Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, Skim Pembiayaan Kontrak-i merupakan skim yang menawarkan akses pembiayaan segera kepada usahawan yang mendapat kontrak kerja atau pembekalan yang diperolehi secara terus daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan mencagarkan kontrak kerja tersebut dengan nilai pembiayaan sehingga RM200,000.


Beliau berkata, sejak skim itu dilancarkan pada 15 Ogos 2015, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.16 bilion kepada 11,397 usahawan.


“Manakala bagi tahun 2022 sehingga November lalu, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM296 juta kepada 3,834 usahawan.



“Mengambilkira maklumbalas serta had nilai perolehan kerja bagi kontraktor G1 bernilai RM200,000 dan ke bawah, TEKUN akan meningkatkan had pembiayaan skim ini daripada RM100,000 kepada RM200,000 mulai Januari 2023,” katanya.


Bagi pembiayaan di atas RM100,000 hingga RM200,000 usahawan layak untuk menerima pembiayaan sehingga 75% daripada nilai kontrak.


Manakala bagi pembiayaan di bawah RM100,000, nilai pembiayaan kekal sehingga 85% daripada nilai kontrak.



Menurut Ewon, pada tahun 2023, TEKUN telah memperuntukkan RM200 juta dengan sasaran lebih 3,100 usahawan akan menerima manfaat ini.


“Melalui skim ini usahawan hanya dikenakan caj berjumlah 1.5% sebulan bagi tempoh jangka pendek enam bulan.


“Usahawan boleh mengunjungi Pejabat TEKUN Cawangan berdekatan bagi permohonan dan pertanyaan lanjut berkaitan skim ini,” katanya.



KUSKOP berharap dengan peningkatan had maksimum Skim Pembiayaan Kontrak-i akan dapat membantu merancakkan sector pembinaan seterusnya memacu ekonomi negara.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam serta ketua-ketua agensi KUSKOP dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

bottom of page