top of page

TNB GLC Pertama Naikkan Kadar Gaji Minimum RM1,700 - Anwar

  • nabalunews
  • Oct 29, 2024
  • 2 min read

29 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi.syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang menyahut seruan kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, merakamkan penghargaan kepada Pengerusi, Lembaga Pengarah, serta barisan pengurusan tertinggi TNB atas komitmen dan persetujuan mereka untuk meluluskan kenaikan kadar gaji minimum ini kepada kakitangan syarikat terbabit.


Beliau berharap kenaikan gaji minimum

ini dapat meningkatkan kesejahteraan pekerja TNB dan menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain.


“Terima kasih TNB kerana sahut seruan kerajaan ini, beserta kenaikan gaji dan pendapatan kepada seluruh warga kerja syarikat ini.


“Saya tidak nilai kejayaan TNB semata-mata dari keuntungan (tetapi juga) beroperasi dengan efisyen dan jaga kebajikan anak buah, kerana sesebuah organisasi dan syarikat tidak berjaya tanpa usaha dan komitmen warga kerja di semua peringkat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.


Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 TNB di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, Bangsar di sini pada Selasa.


Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.


Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.


Sementara itu, Anwar berkata selain mempunyai sejarah tersendiri dalam industri elektrik negara, TNB telah memainkan peranan yang amat baik dalam memastikan Malaysia terkehadapan dalam bidang peralihan tenaga dan sentiasa bersedia melakukan anjakan sesuai peredaran zaman.


“Terima kasih pengurusan (TNB) kerana terus rangka melalui penyelidikan cari jalan dan kaedah supaya peralihan tenaga berjalan rapi dan berkesan,” katanya.


Anwar turut memaklumkan beliau akan menyempurnakan pelancaran projek tenaga terapung di Tasik Kenyir di Terengganu, hasil kerjasama TNB dan Petronas pada bulan hadapan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page