Ujian klinikal vaksin Sinovac babitkan kanak-kanak 3 hingga 11 tahun bermula hujung bulan iniUjian klinikal vaksin Sinovac babitkan kanak-kanak 3 hingga 11 tahun bermula hujung bulan ini
top of page
  • Farah Salim

Ujian klinikal vaksin Sinovac babitkan kanak-kanak 3 hingga 11 tahun bermula hujung bulan ini


27 Okt 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ujian klinikal Fasa 3 akan diadakan bermula hujung bulan ini membabitkan pemberian vaksin Sinovac kepada kanak-kanak berumur tiga hingga 11 tahun.


Menurut laporan Free Malaysia Today, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa Malaysia merupakan salah satu negara yang terpilih untuk percubaan ini.


Ujian ini akan diadakan di 10 lokasi, termasuk lapan kemudahan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Beliau berkata, KKM telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pengeluar vaksin untuk mendapatkan maklumat mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.


Setakat ini, katanya belum ada data yang diperlukan daripada pengeluar vaksin, namun jawatankuasa pemilihan calon vaksin Covid-19 (JKPCV) dan KKM sedang mengkaji keberkesanan dan keselamatan vaksin terhadap populasi berdasarkan bukti saintifik melalui kajian klinikal atau data dunia sebenar.


“Pada 20 Sept, Pfizer-BioNTech mengeluarkan penemuan ujian klinikal Fasa 3 untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dan vaksin itu didapati selamat, boleh diterima dengan baik dan menunjukkan tindak balas antibodi peneutral yang kuat.


“Data kajian itu telah diserahkan kepada Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA) dan Agensi Ubat Eropah (EMA),” katanya.


Khairy memberikan jawapan bertulis parlimen kepada Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur), yang bertanya sama ada KKM telah menyemak kesesuaian dan keberkesanan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah.


Manakala, beliau berkata China telah meluluskan dua vaksin Covid-19 yang dikeluarkan oleh Sinovac Biotech Ltd. dan Sinopharm untuk kegunaan kecemasan bagi mereka yang berumur antara tiga hingga 17 tahun.


Kelulusan ini dilakukan setelah ujian klinikal Fasa 1 dan 2 mendapati vaksin itu selamat dan mampu merangsang imun yang kuat ke atas kanak-kanak dan remaja.

bottom of page