UPKO, parti komponen PH Sabah, Sarawak akan putuskan sendiri penggunaan logo pada PRU15
4 September 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Sabah dan Sarawak yang lain akan memutuskan sendiri penggunaan logo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Beliau berkata, ini kerana Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi sendiri dalam membuat keputusan.
“Keputusan menggunakan logo bersama ini (logo rasmi PH) tidak merangkumi Sabah dan Sarawak kerana Sabah dan Sarawak ada autonomi sendiri.
“Jadi itu (penggunaan logo) akan diputuskan oleh parti Sabah dan Sarawak sendiri (sama ada menggunakan lambang parti masing-masing),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa webinar Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO Dalam Perjuangan PH di laman Facebook UPKO, pada malam Jumaat.
Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah lebih baik sekiranya parti politik yang sehaluan bersepakat menggunakan satu logo pada PRU15.
Beliau berkata, ini kerana penggunaan satu logo yang sama terbukti berkesan berbanding bertanding dalam kelompok berasingan yang mungkin akan mengelirukan pengundi.
“Kita harus ingat sebaik mungkin harus ada satu logo yang disepakati kerana ia terbukti jauh lebih berkesan daripada bertanding dalam kelompok berasingan yang mungkin juga akan mengelurkan pengundi.
“Pembangkang mesti ada kesepakatan dan ini juga telah dipersetujui dalam deklarasi di Port Dickson sebelum ini. Bukan sahaja PH tetapi semua pembangkang, kerana kalau kita berpecah ia menguntungkan pihak lawan,” katanya.
Turut serta dalam webinar itu ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau.
Comments