UUM pertahan kejuaraan, ketepikan 22 pesaing Debat Koperasi IPT 2025
- nabalunews
- Jun 20
- 2 min read

20 Jun 2025
PETALING JAYA: Universiti Utara Malaysia (UUM) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Koperasi Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2025, di sini, baru-baru ini.
Kemenangan UUM mengatasi 22 pasukan lain sekali gus menjadikannya sebagai juara bertahan setelah turut menjuarai pentas debat sama pada tahun 2023.
Pertandingan akhir yang berlangsung di Institut Koperasi Malaysia (IKMa) itu menyaksikan pertembungan sengit antara empat pasukan terbaik dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

UUM yang membawa peranan sebagai Kerajaan Penutup dalam usul peringkat akhir bertajuk “Dewan ini percaya bahawa penyertaan aktif belia dapat menjadikan koperasi lebih berdaya saing dan lestari,” tampil dengan penghujahan berasaskan peranan belia sebagai pemangkin inovasi dan peneraju pembaharuan dalam gerakan koperasi.
Kejayaan ini turut mengangkat nama pasukan pendebat UUM sebagai contoh terbaik sinergi intelek dan semangat koperasi dalam kalangan mahasiswa.
Universiti Sains Malaysia (USM) muncul Naib Johan, manakala Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Anugerah Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir turut disandang wakil UUM, Farah Aulia Ahmad Sanusi, atas ketokohan serta kejelasan hujah sepanjang sesi debat.
Manakala Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan pula dimenangi oleh Emmed Erwan Shah dari Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Seramai 48 orang pendebat daripada 23 pasukan mewakili 18 universiti awam dan lima institusi pengajian tinggi swasta telah mengambil bahagian dalam edisi kali ini, membuktikan peningkatan minat dan kesedaran mahasiswa terhadap peranan koperasi dalam pembangunan masyarakat.

Pertandingan itu dilihat bukan sahaja memperkukuh kefahaman terhadap konsep koperasi, malah menjadi platform mencungkil bakat kepimpinan muda dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi negara.
Ia merupakan inisiatif IKMa dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dalam usaha memperkenalkan konsep dan nilai koperasi kepada belia khususnya dalam kalangan mahasiswa.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, menerusi rakaman video. Turut hadir, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor serta Pengerusi MADUM, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain.
Tamat
Comments