Vivian Wong: Kenapa kerajaan pusat pinggirkan Sabah? Vivian Wong: Kenapa kerajaan pusat pinggirkan Sabah?
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Vivian Wong: Kenapa kerajaan pusat pinggirkan Sabah?


11 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan (DAP), Vivian Wong membidas Kerajaan Pusat kerana meminggirkan Sabah dalam bajet pembangunan negara.


Semasa perbahasan Belanjawan 2022 di Parlimen, Vivian mempersoalkan mengapa peruntukan bajet itu tidak selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan bulan lepas.


Beliau menyatakan perasaan kecewa kerana daripada sejumlah RM400 bilion pembiayaan pembangunan di bawah RMK-12 tersebut, Sabah hanya diperuntukkan 15 peratus.


“Adakah ini bajet Malaysia atau bajet Semenanjung? Saya amat kecewa dengan Belanjawan 2022 yang telah dibentangkan oleh menteri kewangan.


“Saya percaya saya berkongsi sentimen ini bersama ramai orang Sabah di mana Sabah dan Sarawak terus diketepikan dalam peruntukan belanjawan untuk pembangunan.


“Semasa Perdana Menteri membentangkan RMK-12 di Parlimen, Beliau telah menyatakan bahawa daripada RM400 bilion yg diperuntukkan kepada RMK-12 sebanyak 15 peratus akan diperuntukkan untuk Sabah bersamaan dengan 60 bilion untuk tempoh lima tahun,” tambahnya.


Selain itu, Vivian turut membangkitkan masalah yang dihadapi golongan belia di negara ini berhubung dengan pencarian pekerjaan dan pembelian rumah sendiri.


“Kadar pengangguran belia di Sabah kini telah meningkat kepada 20 peratus pada tahun 2020. Beratus-ratus ribu belia, termasuk graduan, hanya bertahan dalam sektor ekonomi gig,” katanya.


“Memiliki rumah masih menjadi impian majoriti belia hari ini. Saya menggesa kerajaan mempertimbangkan pelbagai skim bantuan seperti Skim Rumah Belia,” tambahnya.


Jelas Vivian lagi, kedudukan Sandakan yang strategik iaitu di tengah-tengah wilayah BIMP-EAGA boleh memainkan peranan utama dalam perdagangan dan logistik melalui pelabuhan laut dan lapangan terbangnya.


Oleh itu, beliau menegaskan agar kerajaan menyegerakan penubuhan Zon Perindustrian Bebas di Sandakan.


Beliau juga menggesa kerajaan menyediakan pengagihan sumber yang adil dan saksama supaya rakyat Sandakan dan Sabah dapat menikmati tahap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sama seperti rakyat Malaysia di Semenanjung.


“Covid-19 telah menyebabkan beratus-ratus pembedahan bukan berkaitan Covid-19 ditangguhkan di Hospital Duchess of Kent. Klinik pakar di Hospital Duchess of Kent terpaksa ditutup selama lebih setahun kerana bilangan pesakit yang tinggi.


“Bagi bandar dengan lebih setengah juta penduduk, penduduk di Sandakan memerlukan sebuah lagi hospital awam dengan segera untuk meningkatkan taraf perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya.

bottom of page