Zii Jia ke pusingan kalah mati, berdepan tugas sukar bertemu Chen LongZii Jia ke pusingan kalah mati, berdepan tugas sukar bertemu Chen Long
top of page
  • nabalunews

Zii Jia ke pusingan kalah mati, berdepan tugas sukar bertemu Chen Long



29 Julai 2021


TOKYO: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melangkah penuh bergaya ke pusingan kalah mati Sukan Olimpik Tokyo 2021, apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan M, kelmarin.


Pemain nombor lapan dunia berusia 23 tahun itu, menampilkan aksi bertenaga untuk membenam pemain Perancis Brice Leverdez dalam masa 35 minit, pada perlawanan yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza.


Pada set pertama, Zii Jia yang membuat penampilan pertama di Olimpik, bermula perlahan apabila ketinggalan 4-7, namun bangkit memperoleh 10 mata berturut-turut untuk mendahului 14-7, sebelum mencatat kemenangan 21-17 dalam masa 19 minit.


Bermula set kedua, juara All England 2021 itu terus garang untuk mengetepikan cabaran Leverdez yang berada di ranking ke-36 dunia, dengan keputusan 21-5.


Zii Jia, bagaimanapun berdepan tugas berat pada pusingan kalah mati, apabila dijadual bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China, petang ini.


Mengulas mengenai perlawanan malam ini, Zii Jia berkata strategi beliau memaksa lawannya itu bermain secara rali berhasil, apabila berjaya meraih mata demi mata terutama pada set kedua.


“Dia (Leverdez) seorang pemain tidak suka bermain secara rali, dan apabila saya memaksa beliau bermain dengan corak permainan itu dan tidak terburu-buru mendapatkan mata, ternyata menjadi,” katanya dan bahawa beliau tidak akan memandang mudah terhadap mana-mana lawan dihadapinya, pada temasya itu.


Mengenai aksi bertemu Chen Long, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata, beliau akan menampilkan aksi habis-habisan berdepan pemain ranking keenam dunia itu.


“Chen Long seorang pemain berpengalaman dan perlawanan esok sudah pastinya bukan mudah. Saya berharap dapat membuat persediaan yang baik, dan akan memberikan aksi seratus peratus,” katanya. - Bernama

bottom of page