top of page
  • nabalunews

Zii Jia tekad menang emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028


6 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Pemain badminton perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia, tidak akan berhenti dengan pingat gangsa di Olimpik Paris 2024, tetapi akan meneruskan perjuangan untuk menang pingat emas di Sukan Olimpik seterusnya iaitu di Los Angeles 2028 (LA2028).


Zii Jia yang tiba di Paris dengan impian emas selepas prestasi yang baik di Kejohanan Dunia baru-baru ini, berkata beliau seperti ‘dikejutkan daripada tidur yang lena’ oleh pemain Thailand Kunlavut Vitidsarn selepas tewas pada peringkat separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena.


"Saya seperti hilang pada ketika itu dan tidak pasti jika saya mahukan pingat gangsa ini. Kita (Malaysia) dah ada banyak gangsa dan perak Sukan Olimpik, yang belum ada ialah emas.


"Namun, bagi saya ini satu permulaan perjalanan yang baik untuk saya. Tentu sekali saya akan kembali di LA28, dan akan terus mencuba untuk menang emas untuk Malaysia dan diri saya,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini


Zii Jia ditemui media selepas perlawanan penentuan pingat gangsa, pada Isnin.


Terdahulu, Zii Jia menjadi atlet Malaysia ketiga untuk menang pingat Olimpik badminton perseorangan lelaki selepas Datuk Rashid Sidek menang gangsa di Atlanta 1996, dan tiga pingat perak Datuk Lee Chong Wei di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.


Meskipun tewas set pertama 13-21,

pemain di ranking ketujuh dunia itu, berjaya menumpaskan Lakshya Sen dari India, dengan mengungguli 2 set seterusnya 21-16, 21-11 untuk membawa pulang pingat gangsa untuk negara.


Zii Jia tewas kepada Chen Long dari China di pusingan 16 terakhir pada penampilan pertamanya di Olimpik

Tokyo 2020.


Juara All England 2021 itu berkata, sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi pemain persendirian pada awal 2022, banyak telah berlaku dan menjadikan beliau lebih matang.


Sementara itu, pemain Denmark Viktor Axelsen mengekalkan pingat emas perseorangan lelaki dengan kemenangan 21-11, 21-11 ke atas pemain Thailand Kunlavut di final.


Terdahulu pemain nombor satu dunia An Se Young mengalahkan pemain China He Bing Jiao 21-13, 21-16 untuk pingat emas perseorangan wanita.


Sementara itu menerusi temuramah bersama stesen televisyen swasta,

Zii Jia sebak sehingga mengalirkan air mata selepas mengenangkan pelbagai cabaran berliku sebelum menggondol pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.


Menurut Zii Jia, pelbagai kritikan dilemparkan terhadapnya namun perkara itu sama sekali tidak memadamkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik di Sukan Olimpik Paris 2024.


"Banyak perkara yang berlaku sejak saya menjadi profesional dan saya rasa, sekali pun saya tidak menangis walaupun saya pernah fikir untuk berputus asa daripada badminton. Saya pun tidak pasti layak ke Sukan Olimpik ataupun tidak dan ranking saya pun jatuh," katanya.


Ujarnya, ia satu detik yang buruk dalam kariernya tetapi di Paris, Zii Jia berjaya sampai ke peri2 separuh akhir dan memenangi pingat gangsa.


"Saya sangat bangga dengan diri saya sendiri walaupun ini hanya pingat gangsa.


"Walaupun berdepan pelbagai kritikan, saya hanya mendiamkan diri dan saya mahu buktikan walaupun ini hanyalah pingat gangsa.


"Ini adalah satu permulaan untuk saya bangkit dengan lebih kuat bagi mendapatkan pingat emas di Los Angeles 2028," katanya.


Kejayaan memenangi pingat gangsa menyaksikan Zii Jia memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo di mana dia berjaya mara sehingga ke pusingan 16 sebelum tewas di tangan pemenang pingat perak dari China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21.

Comments


bottom of page