18 PATI ditahan dalam operasi bersepadu ESSCOM di Tawau
- nabalunews
- Sep 27, 2024
- 2 min read

27 September 2024
KOTA KINABALU: 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), di sekitar kawasan Jeti Awam Tawau dan Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Apas, Tawau, semalam.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Datuk Victor Sanjos berkata kesemua PATI terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.
Mereka antara 187 individu yang diperiksa sepanjang Operasi Bersepadu Siri 2/ 2024 di sekitar daerah Tawau itu.
Operasi berkenaan diketuai oleh Ketua Staff Bahagian Operasi Darat ESSCOM, Datuk Habibi Majinji dengan dibantu oleh Timbalan Ketua Staff Operasi Darat, ACP Rudy Abdullah.
Victor berkata, sepanjang operasi bersepadu itu, sebanyak 103 buah kenderaan diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 41 keping saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.
“ESSCOM ingin memberikan penghargaan kepada 151 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari Jabatan dan agensi yang terlibat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Victor berkata, penghargaan juga diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Batalion 14 dan Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
“Begitu juga dengan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras, Jabatan Air Negeri Sabah dan Majlis Perbandaran Tawau serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Objektif utama operasi bersepadu ini adalah bagi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang kemasukan PTI ke dalam negara.
“Pada masa sama, pihak berkuasa yang terlibat turut menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain khususnya di kawasan pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Menurutnya, ESSCOM komited dalam mencapai misi tiada lagi pencerobohan kali kedua dan mengekalkan sifar penculikan atau kidnap for ransom (KFR) yang menjadi misi utama ESSCOM.
Katanya, ia berdasarkan rekod tangkapan serta pemantauan pihak berkuasa mendapati PTI berpotensi dijadikan sebagai tali barut kepada elemen jenayah rentas sempadan di ESS Zone.
“Kejayaan operasi ini juga sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan melalui Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkasa operasi-operasi sedia ada didalam PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Maritim Malaysia.
“Ia juga membantu jabatan serta agensi penguatkuasaan dan Pihak Berkuasa Tempatan menguatkuasakan undang-undang di ESS Zone selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan ancaman pencerobohan asing dapat dikekang seterusnya menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.
“ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah,” katanya.
Sehubungan itu katanya, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.
Comments