Alesyah Asa, dari Nabawan antara finalis Hadiah Pelajar Global 2022
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Alesyah Asa, dari Nabawan antara finalis Hadiah Pelajar Global 2022


Alesyah Asa

23 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pelajar Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional Keningau mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai seorang daripada 50 finalis untuk Hadiah Pelajar Global 2022.


Alesyah Asa,20, berasal dari Kg.Enam Nabawan amat bertuah kerana tersenarai dalam top 50 finalis daripada 7,000 peserta yang disertai 150 buah negara seluruh dunia.


“Saya sangat teruja dan tidak menyangka dapat tersenarai dalam top 50 kerana pertandingan ini disertai pelajar seluruh dunia yang sememangnya mempunyai kelebihan dan keupayaan masing-masing.


Alesyah bersama kawan-kawannya membuat bengkel untuk pelajar dan pensyarah.

“Saya berharap agar dapat tersenarai dalam top10 bagi memenangi hadiah berjumlah RM445,000,” katanya ketika dihubungi Nabalu News, hari ini.


Anak bongsu daripada lima orang adik beradik itu berkata, pensyarahnya Dr. Sirhajwan Idek adalah pendorong utama beliau menyertai pertandingan berprestij Hadiah Pelajar Global Chegg.org


“Sebenarnya saya bukan pelajar pertama yang menyertai pertandingan ini. Pada tahun lepas, Nezatul daripada Kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak adalah peserta pertama menyertai pertandingan ini namun hanya berjaya di pusingan temuduga dan tidak berjaya mencapai peserta 50 teratas.


Alesyah sedang membuat robot yang dinamakan ‘Dora’ untuk acara kolej.

“Oleh itu saya berharap dapat memenangi pertandingan ini bukan sahaja untuk mengharumkan nama kolej tetapi juga Sabah dan negara Malaysia secara keseluruhannya.


“Sekiranya saya memenangi Global Student Prize, saya akan menggunakan wang hadiah itu untuk melabur dalam Kelab Eureka Hub, menambah baik infrastruktur sekolah dan mengembangkan lagi projek saya dalam menangani maklumat salah mengenai Covid-19,” katanya.


Alesyah berkata, beliau menghantar permohonan untuk menyertai pertandingan itu pada April lalu selepas permohonan dibuka kepada semua pelajar di seluruh dunia.


Alesyah (tengah) bersama pelajar lain semasa program pertukaran pelajar di Korea

“Pada 24 Jun, saya telah menerima e-mail daripada organisasi berkenaan untuk menjalankan temuduga secara atas talian (google meet).


“Kemudiannya pada 21 Julai (Khamis lalu), pengumuman dilakukan bagi mengumuman peserta yang berjaya dalam 50 finalis dan saya tidak menyangka tersenarai dalam Top 50,” katanya.


Katanya lagi, peserta yang berjaya dalam 10 peserta teratas akan diumumkan melalui e-mail pada Ogos ini dan kemudiannya pemilihan pemenang bagi pertandingan itu.


“Pertandingan ini dijalankan dengan penilaian yang diambil dari pencapaian peserta dari segi kokurikulum dan CGPA.


“Ia juga menilai sumbangan peserta sepanjang menjalankan tugas yang disenaraikan dalam resume peserta dan dihantar kepada penilai. Peserta juga hendaklah bersedia untuk menyiapkan sebarang bahan yang diminta oleh organisasi Global Students Prize,” katanya.


Alesyah ingin membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukan pekerjaan yang didominasi kaum lelaki.

Alesyah berkata beliau minat dalam bidang pembinaan kerana suka pekerjaan yang mencabar dan ingin membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukan pekerjaan yang biasanya didominasi oleh kaum lelaki.


“Saya dari dulu suka melukis terutama yang berkaitan dengan rumah, jadi saya mahu meningkatkan kemahiran melukis pelan dengan mengambil kursus teknologi pembinaan,” katanya.


Hadiah Pelajar Global Chegg.org adalah anugerah yang diberikan kepada pelajar luar biasa yang memberi impak besar kepada rakan sebaya dan masyarakat luar.


Pada tahun 2020, Alesyah mengetuai pasukan memenangi geran bagi melaksanakan projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) daripada The Awesome Foundation, sebuah persatuan antarabangsa dari Amerika Syarikat.


Dengan kemenangan itu mereka berjaya membawa pulang geran berjumlah USD1,000 selepas menewaskan 77 pasukan lain yang turut membuat permohonan geran berkenaan.


Pasukan pelajar itu melaksanakan bengkel, pertandingan dan pameran melibatkan dron, robot, pencetakan tiga dimensi serta ‘coding’ untuk para pelajar dan guru di kolej itu.


Selain itu Alesyah juga juga pernah mewakili Malaysia sebagai duta budaya bagi rombongan pelajar kolej itu yang melawat institusi pendidikan di Korea Selatan pada 2019. Beliau aktif menyertai pertandingan inovasi dengan mempertandingkan alat binaan bangunan hasil ciptaanya beserta dengan ahli sepasukan.

bottom of page