Amalan ESG penting untuk PMKS tembusi pasaran antarabangsa – Ewon
- nabalunews
- Jun 28
- 2 min read

28 Jun 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) semakin menjadi keperluan penting bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk kekal relevan serta menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, syarikat-syarikat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) kini menjadikan pematuhan ESG sebagai antara kriteria utama dalam keputusan perolehan dan pelaburan.
“ESG bukan sekadar satu trend, ESG adalah masa depan. Ia bukan hanya mengenai pemeliharaan alam sekitar, tetapi juga merangkumi cara pengurusan perniagaan yang bertanggungjawab terhadap masyarakat dan pekerja serta amalan tadbir urus yang telus dan beretika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kesedaran ESG untuk PMKS, di Pacific Sutera Hotel, di sini, hari ini.
Ewon berkata, penganjuran seminar ini tepat pada masanya bagi meningkatkan kefahaman serta kesediaan PMKS terhadap keperluan dan pelaksanaan ESG dalam operasi perniagaan mereka.
Katanya, inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya dalam memperkasa budaya dan adaptasi amalan ESG dalam kalangan PMKS di negara ini.

“Terutamanya untuk membantu PMKS menembusi rantaian bekalan GLC dan MNC serta pasaran antarabangsa yang kini menetapkan pengamalan ESG sebagai syarat utama,” katanya.
Katanya lagi, SME Corp. Malaysia, agensi di bawah KUSKOP, telah memperkenalkan Garis Panduan ESG untuk PMKS (ESG Guidelines for MSME) yang dilancarkan awal tahun lalu sebagai satu daripada usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman berkaitan ESG dalam kalangan usahawan tempatan.
“Walaupun pematuhan ESG belum diwajibkan, keperluannya semakin mendesak, khususnya dalam rantaian bekalan domestik dan antarabangsa,” katanya.

Ewon turut menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan PMKS di Sabah melalui pelaksanaan amalan ESG.
“Kerjasama antara agensi kerajaan, institusi akademik dan industri adalah kunci kejayaan membangunkan ekosistem PMKS yang berdaya saing. Inisiatif seperti ini mampu menjana impak lebih besar melalui perkongsian kepakaran, maklumat dan sumber,” katanya.
Beliau juga menyeru agar semua PMKS di Sabah mengambil peluang membina kapasiti dan daya tahan perniagaan masing-masing menerusi pelaksanaan amalan ESG secara berperingkat.

Turut hadir, Pengerusi SME Corp. Malaysia; Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Naib Canselor UMS, Prof.Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corp. Malaysia Rizal Nainy.


















Comments