APM pantau titik panas risiko bencana semasa Monsun Barat Daya
top of page
  • Wartawan Nabalu News

APM pantau titik panas risiko bencana semasa Monsun Barat Daya


13 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau lokasi titik panas yang berpotensi mengalami bencana semasa Monsun Barat Daya yang berlangsung dari pertengahan Mei hingga September ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pasukan khas itu diwujudkan menerusi Op Ramah sejak 26 Mei lalu, bertujuan untuk memberi kesedaran dan informasi kepada masyarakat tentang risiko bencana yang bakal dihadapi akibat taburan hujan yang lebih rendah di kebanyakan tempat.


"Op Ramah melibatkan seramai 427 anggota bantuan tambahan APM tidak termasuk 10,510 anggota tugasan harian kecemasan dan bencana," katanya.


Beliau berkata, pasukan khas itu telah menerima sebanyak 2,072 aduan daripada anggota sukarela mengenai kes-kes seperti pembakaran terbuka, pelupusan sampah dan pencemaran sungai yang berlaku di kawasan titik panas.


Kes yang dilaporkan seterusnya diambil tindakan oleh agensi-agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).


Beliau juga menyeru semua pihak untuk mempunyai kemahiran pengurusan bencana dengan berpandukan kepada program pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti (CBDRM) yang merupakan latihan bagi memperkasa masyarakat dalam menghadapi bencana melalui strategi persediaan, pemantauan, tindakan dan pemulihan.


"Kemahiran asas ini perlu ada pada masyarakat terutama berhadapan dengan sesuatu bencana agar mereka tahu bertindak tanpa menunggu bantuan agensi kerajaan sebelum bencana dan risiko itu menjadi lebih besar," katanya.


Monsun Barat Daya adalah fenomena cuaca tahunan yang berlaku di Asia Tenggara yang menyebabkan kekeringan, kemarau dan jerebu di beberapa negara termasuk Malaysia.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page