top of page

Beberapa strategi, mekanisme digerakkan tambah baik pelaksanaan COSS - KPDN

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 3 min read

Datuk Armizan Mohd Ali
Datuk Armizan Mohd Ali

23 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menggerakkan beberapa strategi dan mekanisme untuk menambah baik pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia berdasarkan laporan Pasukan Naziran Khas KPDN dan sebagaimana maklum balas awal Kementerian yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).


Katanya, strategi dan pendekatan penambahbaikan sedang dan akan melibatkan tiga kerangka utama, iaitu Kejelasan Dasar Berpandukan Had Siling Kuota 60,000 Metrik Tan Sebulan, Pengukuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan dan Pemantapan Mekanisme Pengurusan Risiko Ketirisan dan Penguatkuasaan.


Beliau berkata demikian ketika menjawab ke atas usul LKAN2/2025 mengenai minyak masak bersubsidi di Dewan Rakyat hari ini.


Armizan berkata, dasar dan SOP pelaksanaan Program COSS adalah tertakluk kepada jumlah had siling kuota minyak masak paket yang ditetapkan oleh kerajaan melalui agensi pusat.


"Skim ini telah diperkenalkan pada tahun 2007 dan pada tahun 2016, kuota semasa pada masa itu iaitu 84,405 metrik tan sebulan telah dikurangkan kepada 60,000 metrik tan dan berkuat kuasa sehingga kini.


"Sehubungan itu, proses penambahbaikan untuk mewujudkan kejelasan dasar perlu berpandukan had siling kuota 60,000 metrik tan sebulan.


"Antara fokus utama dasar dan SOP pelaksanaan adalah untuk memastikan 60,000 metrik tan minyak masak paket 1 kg berada di pasaran dan dijual pada harga RM2.50 sekilogram," katanya.


Beliau berkata, KPDN sentiasa melaksanakan strategi untuk meningkatkan agenda menangani penyelewengan dan penyeludupan tidak boleh dicapai hanya melalui penguatkuasaan tanpa mekanisme kawalan pengurusan risiko ketirisan.

Atas sebab itu, katanya KPDN merintis strategi pemantauan dan penguatkuasaan secara digital melalui Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (Sistem eCOSS).


"Sistem ini meliputi pemantauan rantaian pembekalan minyak masak daripada syarikat pembungkus hingga kepada peringkat peruncit termasuk dalam proses tuntutan bayaran subsidi.


Sistem eCOSS telah dibangunkan dan dirintis pada tahun 2023 dan telah digunakan sepenuhnya pada tahun 2024," katanya.


Beliau berkata, bagi melengkapkan rantaian pemantauan sehingga ke peringkat pembelian oleh pengguna, bermula Mei 2025 KPDN sedang merintis pelaksanaan Aplikasi Sistem Mobile eCOSS.


"Penggunaan aplikasi ini akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan kestabilan sistem sebelum diperluaskan sepenuhnya," katanya.


Katanya, program rintis sedang dilaksanakan dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Kerajaan Negeri Johor telah memberikan persetujuan agar aplikasi mobil ini dirintis secara berperingkat di negeri berkenaan.


"Melalui Aplikasi Sistem Mobile eCOSS, data pembelian di peringkat runcit akan direkodkan dan KPDN boleh memantau rekod jumlah penjualan oleh pihak peruncit dan data jumlah pembelian dan identiti pengguna berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara.


Strategi ini sekali gus membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap larangan penjualan dan pembelian melebihi had dan kepada warga asing.


KPDN komited untuk melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan yang menyeluruh dan tegas untuk membanteras ketirisian subsidi kerajaan dan sekali gus memastikan subsidi dimanfaatkan oleh rakyat secara bersasar," katanya.


Armizan berkata, KPDN amat mengalu-alukan LKAN Bil. 2/2025 yang menyentuh Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah kawal selia kementerian ini.


"KPDN memberi perhatian serius terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam laporan tersebut.


Dalam hal ini, tindakan susulan yang sewajarnya akan dilaksanakan termasuk mengambil kira isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan LKAN pada hari ini.


Ini adalah sejajar dengan komitmen tinggi Kerajaan MADANI agar setiap dapatan LKAN diteliti dan diberikan keutamaan.


Ini dizahirkan dengan pembaharuan yang dilaksanakan di bawah pentadbiran hari ini apabila setiap LKAN bukan hanya dibentangkan tetapi dibahaskan di Parlimen bermula 6 Jun 2023," katanya.


Beliau berkata, proses pengauditan yang dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bermula Februari 2024 hingga Februari 2025 ini juga merupakan pelengkap kepada proses naziran dalaman yang dilaksanakan oleh KPDN.


Katanya, audit yang dilaksanakan oleh JAN ini adalah melibatkan pelaksanaan program-program pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak termasuk Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) bagi tempoh 2019 hingga 2024.


Armizan berkata, ketika memangku tugas Menteri KPDN, pada bulan Oktober 2023 beliau telah mengarahkan agar diwujudkan sebuah Pasukan Naziran Khas Bagi Kilang Penapis dan Syarikat Pembungkus di Bawah Program Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).


Dalam hal ini, katanya dapatan LKAN Bil. 2/2025 mengesahkan penemuan naziran dalaman yang mengenal pasti perkara-perkara yang menuntut kepada penambahbaikan.


Katanya, sebagaimana dalam LKAN ini, pihak JAN merumuskan bantuan subsidi minyak masak wajar diteruskan sebagai inisiatif untuk menangani kos sara hidup rakyat.


Sehubungan itu, katanya, selain laporan pasukan naziran khas KPDN, dapatan LKAN ini akan dijadikan asas untuk melaksanakan proses penambahbaikan susulan yang lebih menyeluruh dan tegas.


"Ini penting untuk memastikan COSS mencapai objektif dan memanfaatkan golongan sasar sekali gus mengekang ketirisan subsidi kerajaan untuk rakyat," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page