top of page
nabalunews

BEKALAN VAKSIN, TUMPUAN HARI TERAKHIR DEWAN RAKYAT


17 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Perihal berkaitan bekalan vaksin COVID-19 dari syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer, antara tumpuan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang akan diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung kos, keberkesanan, dan liputan vaksin, khususnya tempoh imuniti serta jaminan perubatan kesan sampingan vaksin itu.

Guan Eng turut meminta penjelasan dan rasional pemilihan vaksin keluaran Pfizer berbanding syarikat vaksin lain, termasuk di Amerika Syarikat, China dan Rusia, serta perbandingan kos dan keberkesanan vaksin mereka. Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pula minta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19, susulan pembukaan sektor ekonomi.

Selesai sesi itu, tumpuan akan beralih kepada Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020 bagi bacaan kali yang kedua.

Turut dijadual dibentangkan bagi bacaan kali kedua ialah Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan (Pindaan) 2020.

Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 29 hari sejak 2 Nov lepas, akan berakhir hari ini.

Sementara itu, menurut aturan urusan mesyuarat persidangan Dewan Negara yang masuk hari kedua hari ini, tiga soalan daripada anggota Dewan itu bertumpu pada capaian Internet dan langkah-langkah mengekang jenayah siber.

Senator Adrian Lasimbang meminta Menteri Komumnikasi dan Multimedia menyatakan apakah teknologi terkini yang digunakan, untuk memastikan capaian rangkaian liputan 4G dan kelajuan internet mudah alih dapat dinikmati di kawasan terpencil, dan mengatasi titik buta internet di Sabah.


Senator Datuk Haji Jefridin Haji Atan meminta Menteri yang sama menyatakan usaha dan tindakan yang diambil dalam menghadapi cabaran geografi, bagi memastikan akses telekomunikasi dan jalur lebar dapat dinikmati oleh rakyat di kawasan yang sukar dicapai, terutamanya kawasan pedalaman.

Senator Hajah Sabani Mat pula meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan, apakah langkah yang dilakukan pihak Kementerian dalam memastikan rakyat Malaysia tidak terjebak dalam jenayah penipuan siber.

Sementara itu Senator Ras Adiba Radzi meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan, tindakannya dalam menyokong Badan Bukan Kerajaan atau pusat yang menyediakan perkhidmatan sokongan dan intervensi awal kepada kanak-kanak OKU berikutan terkesan akibat pandemik COVID-19 dan kekurangan dana sumbangan masyarakat.

Senator Datuk Haji Ismail Ibrahim pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah Banduan Yang DiParol (ODP) dan ODS (Orang Diselia) sehingga November 2020 serta berapa lokasi Jabatan Penjara Malaysia menjadikan bekas Kem PLKN sebagai Asrama bagi ODP dan ODS di seluruh negara serta implikasi sosial kepada masyarakat setempat. - Bernama

Comments


bottom of page