• nabalunews

BEKAS AHLI PARLIMEN LABUAN DILANTIK SEMULA SEBAGAI PENGERUSI ASB



15 DIS 2020


LABUAN: Bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dilantik semula sebagai Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan Sabah, Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), berkuat kuasa 1 Disember.


Suhaili mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sabah dan Persekutuan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui ASB, hab logistik terkenal dunia, dan berjanji untuk mengekalkan kedudukannya sebagai hab minyak dan gas (O&G) serantau dalam tempoh yang mencabar dan pengurangan perbelanjaan modal dalam perniagaan penerokaan berkaitan O&G.


“Sudah tiba masanya untuk memanfaatkan pendedahan saya dalam industri, pemahaman (tentang industri), dan pengalaman saya sebelum ini sebagai pengerusi pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan, bagi memastikan reputasi ASB dilindungi dengan baik dan imejnya tetap kukuh,” katanya kepada Bernama.


Suhaili, yang memegang jawatan tersebut dari 2002-2009, amat diingati bagi pembesaran ASB yang membuka laluan kepada mempunyai dermaga dan jeti dermaga sendiri.


Beliau turut bertanggungjawab menggalakkan Petronas mendirikan loji metanol keduanya di Labuan.


ASB menempatkan lebih 100 syarikat multinasional dan tempatan terutamanya yang terlibat dalam sektor perkhidmatan O&G dan tenaga.


Suhaili, yang juga ahli majlis tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Ketua Bersatu Labuan, telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah MARA Corporation dan ahli majlis penasihat Perbadanan Labuan baru-baru ini. - Bernama