• nabalunews

COVID-19: THAILAND CATAT LONJAKAN KES PENULARAN TEMPATAN


19 DIS 2020


BANGKOK: Thailand menyaksikan lonjakan kes penularan tempatan COVID-19 apabila 12 kes baharu direkodkan hari ini, iaitu jumlah kes penularan tempatan harian tertinggi dalam tempoh lebih tujuh bulan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thaweesilp Wissnuyothin berkata kes tersebut antara 34 jangkitan baharu COVID-19 yang dikesan di negara itu dalam tempoh 24 jam lepas.

Kesemua kes jangkitan tempatan berkenaan berkait dengan seorang penjual udang di sebuah pasar di Samut Sakhon, berhampiran bandar raya ini, katanya pada sidang media di sini hari ini.


Beliau berkata wanita berusia 67 tahun terbabit yang tidak pernah ke luar negara, diuji positif COVID-19 pada 16 Dis lalu.

Susulan itu, pihak berkuasa menjalankan pengesanan kontak yang mengenal pasti 12 kes positif baharu termasuk ibu wanita tersebut yang berusia 95 tahun, kakak dan adik iparnya, masing-masing berumur 73 dan 57 tahun, serta lima pekerja penjual udang berkenaan.

Empat lagi kes melibatkan warga tempatan berusia 20 hingga 49 tahun yang ke pasar berkenaan, katanya.


Beliau berkata pihak berkuasa juga menjalankan saringan bersasar di kawasan itu dan hingga kini 1,449 orang telah menjalani ujian saringan COVID-19.

“Pihak berkuasa sedang menyiasat sumber jangkitan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata baki 22 kes lagi melibatkan sembilan warga Thai dan 13 rakyat asing yang tiba dari luar negara.

Susulan perkembangan baharu itu, jumlah kumulatif positif COVID-19 di Thailand kini sebanyak 4,331 kes dengan kematian kekal 60 kes. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com