• nabalunews

EKONOMI APEC AKAN BEKERJASAMA DENGAN PEMIMPIN PERNIAGAAN, SEKTOR SWASTA GERAK INTEGRASI EKONOMI


17 NOV 2020


KUALA LUMPUR: Malaysia dan ekonomi-ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) lain akan terus bekerjasama dengan pemimpin perniagaan dan sektor swasta dalam menggerakkan integrasi ekonomi dan kerjasama yang lebih kukuh di rantau ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata sektor swasta boleh memainkan peranan lebih aktif dan efektif dalam mengemudi rantau ini ke arah laluan pemulihan ekonomi, ketika ekonomi global terus berkembang.

“Bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang dihasratkan, kita perlu turut memasukkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, golongan wanita, penduduk asli dan belia dalam penciptaan peluang bagi memastikan manfaat kemakmuran perdagangan dan serantau terus dikongsi sama rata,” katanya dalam ucapan alu-aluan beliau pada Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan APEC ke-4 di sini, hari ini.

Mohamed Azmin juga menegaskan Malaysia, bersama-sama negara anggota lain, menyedari bahawa meskipun usaha membendung penularan virus (COVID-19)menjadi keutamaan utama setiap ekonomi, memulihkan kegawatan ekonomi juga perlu diberikan kepentingan yang sama.

Menteri-Menteri APEC yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan menegaskan kepentingan kerjasama di semua peringkat dalam mengekalkan pasaran terbuka. Deklarasi mereka untuk memudahkan aliran barangan penting dalam APEC merupakan petunjuk jelas komitmen tidak berbelah bahagi rantau ini bagi memastikan rantaian bekalan barangan penting kekal tanpa sebarang halangan, katanya. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com