top of page

GSF: 23 rakyat Malaysia dijangka pulang malam Ahad atau selewatnya Isnin

  • nabalunews
  • Oct 4
  • 2 min read

ree

4 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka pulang ke tanah air malam Ahad ataupun selewatnya Isnin.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua sukarelawan kini sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Ramon, Israel untuk menaiki pesawat khas ke Istanbul, Turkiye.


Katanya, beliau mendapat persetujuan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang sedang menguruskan perkara berkenaan dengan kerjasama penuh kerajaan Turkiye.


"Semalam, tiga daripada sukarelawan rakyat Malaysia yang agak keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran dari Israel. Tetapi pendapat kita adalah untuk mereka bersetuju dan kita bincang juga dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery.


“Alhamdulillah 23 daripada mereka sekarang menuju ke Lapangan Terbang Ramon, Israel untuk menaiki pesawat khas ke Istanbul, Turkiye," katanya menerusi perkongsian video berhubung perkembangan terkini pembebasan sukarelawan Malaysia di Facebook rasminya hari ini.


Mengulas lanjut, Anwar berkata, kumpulan itu akan menginap di Istanbul satu atau satu setengah hari untuk pemeriksaan kesihatan akibat trauma dan tekanan rejim Israel yang bertindak agak keras kepada mereka.


"Saya setuju dan mereka akan dilepas pulang mungkin esok malam ataupun lusa (Isnin). Itu kita akan aturkan,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, rundingan beliau tidak hanya terbatas terhadap keselamatan rakyat Malaysia dan Turkiye, malah mengenai semua termasuk Eropah dan rakan Indonesia serta negara lain yang terlibat dalam misi kemanusian GSF itu.


Anwar turut menyifatkan misi itu sangat berjaya kerana aktivis dan sukarelawan tahu tidak begitu mudah untuk sampai (ke Gaza) di bawah rejim penjajahan Israel.


“Mereka sudah memberikan sumbangan yang besar, kesedaran kepada ratusan juta rakyat di dunia bahawa rejim ini tidak hanya menentang apa yang mereka ungkapkan sebagai kelompok ganas walaupun bagi kita ini gerakan pembebasan Palestin dan Gaza.


“Tetapi mereka (Israel) juga melarang, menghindar dengan keras apa juga bantuan kemanusiaan. Ini hanya berlaku kalau negara itu dipimpin oleh dan mengendali serta mempunyai falsafah yang sangat kejam dan tidak bertamadun," katanya.


Ujarnya, negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan.


"Ini pengajaran yang tersebar di seluruh dunia dan saya percaya rundingan terakhir yang digagaskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump itu juga berhasil sebahagiannya kerana sentimen yang menyeluruh dalam kalangan seluruh rakyat dunia,” jelasnya.


Mengulas mengenai rundingan perjanjian damai yang dikemukakan Trump, Anwar berkata Malaysia menyatakan dukungan terbatas kerana masih mahu melihat jaminan kebebasan kemerdekaan Palestin.


"Tetapi keputusan Kerajaan Malaysia MADANI ini tentunya terikat dengan keputusan negara Arab, negara Islam dan keputusan Hamas sendiri.


"Hal ini kerana Hamas menerima kenyataan pertama harus ada pemberhentian serangan. Bebaskan Palestin dan Gaza serta berikan ruang kemanusiaan serta bebaskan semua tahanan baik di Gaza ataupun di Israel," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page